KUCHING: Sarawak tidak bersetuju dengan saranan pengagihan kerusi Dewan Negara sebagai penyelesaian tuntutan 35 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sebaliknya tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri ini adalah di Dewan Rakyat.
Katanya, amat perlu wakil yang aktif dalam Dewan Rakyat untuk memastikan hak Sabah dan Sarawak terus dipertahankan.
“Jika kita mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, hak-hak Sabah dan Sarawak akan terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan Ke-7 (ICORE 2024) di sebuah Hotel terkemuka di sini, hari ini.
Pemimpin Sarawak dan Sabah menuntut supaya satu pertiga atau 35 peratus daripada jumlah kerusi parlimen diberi kepada kedua-dua negeri ini, seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bagaimanapun, baru-baru ini Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berpandangan tuntutan 35 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah wajar diselesaikan dalam pembahagian kerusi Dewan Negara.
Abdul Karim menjelaskan bahawa peruntukan satu pertiga itu bertujuan untuk memastikan suara dan kepentingan Sabah dan Sarawak tidak diabaikan dalam proses pembuatan dasar di peringkat kebangsaan, terutama dalam perubahan yang boleh memberi kesan besar kepada negeri-negeri ini.
Beliau juga menekankan bahawa representasi yang adil di Parlimen adalah instrumen penting dalam melindungi autonomi dan hak-hak khas Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, perwakilan dari Sabah dan Sarawak dalam Dewan Rakyat memainkan peranan penting bagi mengekalkan keseimbangan kuasa dan mempertahankan hak negeri-negeri ini di peringkat persekutuan.
Oleh itu katanya, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kerusi di Dewan Rakyat perlu diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, langkah ini adalah jaminan untuk menjaga kepentingan politik, ekonomi, dan sosial kedua-dua negeri sejak penubuhan Malaysia berdasarkan MA63.
Sarawak dan Sabah ketika ini mempunyai 56 kerusi Parlimen, iaitu 31 di Sarawak dan 25 di Sabah.
Ia hanya membabitkan 25 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, berbanding 74 kerusi yang sepatutnya ada jika mengambil kira satu pertiga seperti dijanjikan melalui Perjanjian Malaysia (MA63), 61 tahun lalu.
Justeru, pertambahan 22 lagi kerusi Parlimen diperlukan bagi Sabah dan Sarawak melengkapkan kuota 35 peratus berpandukan jumlah keseluruhan kerusi Parlimen ketika ini.