KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mahu supaya usaha untuk mengkaji semula persempadanan semula kawasan Parlimen bagi Sarawak dan Sabah, diteruskan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Katanya, ia bertujuan penambahbaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi menambah kerusi Parlimen Sarawak dan Sabah ke nisbah semasa perjanjian itu.
Bagaimanapun, dalam kenyataan media hari ini, bekas Ahli Parlimen Santubong itu tidak menyatakan butiran lanjut mengenai jumlah pertambahan kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah apabila kajian semula sempadan kawasan Parlimen dilakukan.
Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu kesemuanya mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu atau kini Semenanjung Malaysia tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu, sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Sarawak dan Sabah kini mempunyai jumlah 56 Ahli Parlimen (31 di Sarawak dan 25 di Sabah) iaitu merangkumi 25 peratus daripada jumlah 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Jika satu pertiga atau 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen yang ada, bermakna 78 kerusi sepatutnya dari Sarawak dan Sabah. Ini bermakna, perlu ditambah 22 kerusi Parlimen lagi untuk memenuhi keperluan 35 peratus.
Dalam kenyataan media itu, Wan Junaidi juga berharap inisiatif yang diusahakan agensi di bawah portfolionya dapat diteruskan oleh peneraju kementerian itu selepas PRU-15 nanti.
Katanya, masih terdapat pelbagai tugas yang belum diselesaikan antaranya pewujudan semula Kementerian Undang-Undang.
Beliau berkata, cadangan bagi memastikan kecekapan dan pelaksanaan semua agenda perundangan sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan kini dalam tindakan Agensi Pusat.
Katanya, Akta Perkhidmatan Parlimen dan pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 bagi tujuan transformasi Parlimen pula sedang dalam tindakan pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara.
“Susulan pindaan Perlembagaan yang merangkumi peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, pindaan juga perlu dibuat terhadap Perlembagaan bagi Larangan Ahli Dewan Negara Bertukar Parti,” katanya.
Wan Junaidi berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dilakukan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun seperti yang dirancang sebelum ini.
Bagi Sistem Keadilan Jenayah, beliau berkata, pindaan kepada tujuh akta yang memansuhkan hukuman mati mandatori dan menetapkan budi bicara mahkamah perlu dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.
Katanya, peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan jenayah antimenghendap juga perlu dibentangkan di Parlimen.
Katanya Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda dengan memasukkan pelancongan ke dalam senarai bersama (kuasa Persekutuan dan Negeri).
Beliau berkata, perkara lain dalam tindakan agensi berkaitan termasuk Rang Undang-Undang Pendanaan Politik, Rang Undang-Undang Pengurusan Harta Yang Disita dan Dilucut hak, transformasi kepada undang-undang insolvensi, penambahbaikan sistem pilihan raya dan kajian pengurangan kos pilihan raya kecil/negeri/umum, Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat dan Kajian Penetapan Badan Kawal Selia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya.
OLeh RYNNA SHA’ERRA