SARAWAK terdiri daripada pelbagai etnik. Kehidupan yang harmoni dalam jumlah penduduk sekitar 2.7 juta penduduk banyak menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia. Politik negeri Sarawak juga terkenal dengan unsur keharmonian. Gabungan Parti Sarawak (GPS) misalnya, terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demokratik (PDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) adalah satu penjenamaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada blok gabungan yang bersifat tempatan.
Penjenamaan GPS berlaku apabila kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum pada tahun 2018. Di sinilah parti-parti tempatan tersebut menilai kembali penyertaan mereka dalam BN dan mulai membentuk blok yang bersifat tempatan. Hal ini penting bagi menentukan sendiri hala tuju dan masa depan mereka.
PBB mempunyai 13 ahli Parlimen dan mempunyai 47 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kedudukan PBB yang sangat teguh dalam DUN Sarawak yang melebihi separuh DUN menyebabkan PBB dianggap sebagai tulang belakang kepada GPS. Justeru, PBB akan terus memastikan kerusi mereka terus kuat dan bertambah mantap, khususnya dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) ini.
PDP pula mempunyai dua ahli Parlimen dan tiga kerusi DUN manakala PRS pula mempunyai dua ahli Parlimen dan 10 kerusi DUN. SUPP pula mempunyai seorang ahli Parlimen dan tujuh kerusi DUN. Keadaan ini bermakna GPS mempunyai 67 kerusi DUN selepas Parti Bersatu Sarawak (PSB) yang diketuai oleh Wong Soon Koh membuat gerakan menubuhkan parti baharu dan membawa enam kerusi bersama PSB.
Cabaran GPS
Sudah pasti GPS kini tidak akan dapat mengambil pendekatan mempertahankan kerusi yang sedia ada. Sebaliknya, kini perlu bersikap lebih aggresif dengan cuba menawan kubu-kubu GPS. Justeru, kerusi yang menjadi fokus GPS ialah Opar yang merupakan kerusi etnik Bidayuh. Penyandang kerusi Opar ialah Ranum Mina yang merupakan veteran politik Bidayuh yang sudah dikenali ramai kerana sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat. Ranum kini ialah Naib Presiden PSB. Ketika Opar bersama Kerajaan Negeri, terdapat banyak pembangunan di Opar seperti pembinaan Jalan Biawak berturap sepenuhnya, skim elektrik luar bandar, sekolah baharu dan perkhidmatan kesihatan yang semakin baik dan aktiviti ekonomi bertambah baik kerana limpahan pembangunan yang dibawa kerajaan.
Apabila Ranum Mina menyertai PSB misalnya, sudah tentu peruntukan kawasan yang diterima tidak sebesar ketika menjadi wakil rakyat kerajaan. Namun, situasi sedemikian ini memberikan kesan besar kepada pembangunan di Opar. Sememangnya sebagai orang lama dalam politik, Ranum berjaya menggunakan budaya, iaitu budaya etnik Selako Bidayuh sebagai sumber kekuataan dan mendapat kesetiaan untuk memastikan pencalonan beliau akan terus dipertahankan. Budaya politik Selako yang sentiasa mempertahankan ketua setempat mereka dijangka akan berlaku. Pada PRN11 Sarawak (2016) lalu, Ranum Mina menang lebih 2000 undi majoriti, namun, ketika itu beliau bertanding atas tiket SUPP. Dengan kata lain, sukar untuk mempertahankan jumlah kerusi yang besar tersebut, atau berisiko untuk tewas pada PRN12 kali ini.
Apapun, namun GPS perlu meletakkan calon yang dikenali penduduk kawasan, mempunyai pengaruh besar yang mampu menarik undi kepada GPS, khususnya SUPP. Bagaimana penerimaan SUPP di Opar? Adakah keahlian SUPP mencukupi untuk merampas Opar daripada Ranum? Apakah strategi rahsia yang ampuh untuk menumbangkan PSB di Opar? Individu yang dilawan SUPP ialah orang kanan atau jeneral politik PSB kerana Ranum Mina ialah Naib presiden PSB.
Sudah pasti SUPP dijangka akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam penjenamaan imej parti mereka untuk terus bangkit. Antaranya termasuklah dengan mengemukakan calon yang berpengalaman dalam pentadbiran, sentiasa rapat dan berhubung rapat dengan rakyat, selain merupakan etnik Bidayuh Selako juga. Tindakan sebegini sudah pasti memberikan semangat tinggi agar ahli-ahli SUPP dan GPS umumnya, berupaya untuk menggempurkan DUN Opar.
Kerusi Bidayuh
Terdapat tujuh kerusi Bidayuh selain Opar, iaitu Tasik Biru, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja. Berdasarkan Pilihan Raya Umum pada 2016, kebanyakan kerusi Bidayuh selamat dalam gelanggang perang pilihan raya. Henry Jinep, misalnya, berjaya menewaskan calon DAP, Mordi Bimol dan ketika itu sentimen DAP di kawasan Bidayuh sangat kuat. Namun, berjaya juga Mordi ditewaskan dengan majoriti 1,288 undi.
Dr. Jerip Susil merupakan personaliti politik berwarna-warni dan pernah menyertai pelbagai parti politik dan populariti Jerip dalam kalangan penduduk kawasan tidak dapat dinafikan. Beliau berjaya mengalahkan calon PKR dan DAP, iaitu Willie Mongin dan Sanjan Daik hingga Jerip menang dengan majoriti 3333 undi. Ha sedemikian ini juga padah kepada PKR dan DAP yang asyik berbalah sesama sendiri, tidak mahu mengalah, berebut untuk mendapat kuasa tanpa ada semangat pasukan yang kuat. Sekiranya terdapat kerjasama PKR dan DAP, misalnya, nasib politik juga akan berubah.
Pada PRN kali ini, nampaknya DAP dan PKR sekali lagi akan bertembung di banyak kerusi. Sudah tentu situasi sebegini memberikan kelebihan besar kepada GPS dan menjadi mimpi ngeri politik kepada PH dan juga parti-parti pembangkang lain yang masih tidak bersepakat menentukan kerusi yang mahu ditandingi. Perkara yang pasti, DAP sangat menonjol dan dominan dalam pemilihan kerusi yang lebih dilihat strategik dan mampu dimenangi. Percaturan ini juga mempengaruhi kerusi-kerusi yang dipertandingi pembangkang di kawasan Bidayuh memberikan kesan perpecahan undi kepada mereka. Perpecahan undi ini sebenarnya akan menyebabkan peluang untuk memperoleh undi yang lebih besar menjadi tipis.
Apabila ini berlaku, GPS yang terdiri PBB, SUPP, PRS dan PDP tanpa perlu bersaing sesama sendiri mereka akan lebih fokus kepada kerusi yang mereka ingin tawan. Inilah kelebihan GPS yang lebih mementingkan semangat berpasukan dan setiakawan serta tidak meletakkan calon-calon bertembung sesama sendiri. Budaya politik ini sudah lama sebati dalam komponen parti tersebut, walaupun sekali-sekala berlaku juga perebutan, akan tetapi diselesaikan secara dalaman tanpa perlu riuh di media dengan pelbagai kenyataan politik.
Kubu kuat Bidayuh
Kubu kuat Bidayuh ialah DUN Tebedu yang pernah dimenangi dengan perolehan majoriti 6,193 undi oleh Dato Sri Michael Manyin dan kini kerusi ini kosong. Sebelum ini, kerusi ini dicabar oleh PKR. Kali ini, kerusi ini dikatakan akan dicabar kuat oleh PSB yang meletakkan calon yang pernah aktif dalam pentadbiran kerajaan, pernah berpengalaman menjadi Pegawai Daerah di kawasan Bidayuh dan hal sedemikian ini memberikan kelebihan besar kepada PSB. Tambahan pula, dikatakan juga calon PSB tersebut pernah bekerja dengan pejabat penyandang suatu ketika sebelum menyertai PSB.
Berdasarkan sentimen ini, maka kali ini kerusi Tebedu perlu diberikan perhatian, khususnya dalam pemilihan calon yang sesuai, berkelayakan, berpengalaman, dikenali dalam kalangan pengundi kawasan, mesra rakyat, muda dan sihat. Inilah antara persediaan untuk berdepan dengan calon lawan mereka.
Kerusi Bidayuh lain seperti Tarat pula juga dianggap sebagai kerusi kubu kuat Bidayuh kerana pernah dimenangi Roland Sagah apabila mendapat 5,421 undi majoriti menewaskan calon PKR. Begitu juga kerusi Kedup yang dimenangani oleh Martin Ben dengan 3,828 undi majoriti menewaskan DAP dan PBDSB manakala kerusi Bukit Semuja berjaya dengan 3,144 undi majoriti dan dimenangi oleh John Ilus.
Bukit Semuja membuktikan pertembungan DAP, Bebas, STAR dan PBDSB memberikan kelebihan kepada PBB. Namun, kerusi Serembu pula membuktikan boleh menang sekadar 1,397 majoriti apabila Miro Simuh ditentang dua parti sahaja, iaitu PKR dan STAR. Ini bermakna, semakin sikit pertembungan, semakin tinggi pengurangan undi majoriti parti utama.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)