KUALA LUMPUR: Kerugian RM40.7 bilion yang ditanggung Sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) pada tahun lepas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat di seluruh negara bagi memerangi isu Covid-19 adalah kerugian terbesar yang pernah dialami sektor itu, setakat ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia menjadi petunjuk kukuh bahawa para usahawan terjejas kerana tidak dapat menjalankan perniagaan mereka.
Berdasarkan 1.15 juta PMKS yang berdaftar di seluruh negara pada masa ini, kerugian itu bermakna, setiap syarikat PMKS menanggung penurunan purata pendapatan berjumlah RM35,000 pada 2020, katanya dalam kenyataan semalam.
Keadaan itu akan turut memberi kesan kepada aspirasi negara untuk meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PMKS dan nilai eksport, masing-masing kepada 50 dan 30 peratus pada 2030 di bawah Dasar Keusahawanan Nasional.
“Perintah Kawalan Pergerakan tidak lagi merupakan jawapan kepada masalah ini. Kita perlu menerima hakikat untuk menjalani kehidupan dalam keadaan Covid-19 dan mencari penyelesaian seimbang dalam hal ini. Ini adalah faktor mengapa kementerian saya telah mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan agar kita boleh segera membuka semula aktiviti ekonomi, khususnya bagi kategori bukan perlu,” katanya.
Berdasarkan angka terkini daripada Jabatan Perangkaan, sumbangan KDNK sektor PMKS merosot lebih 7.0 peratus tahun ke tahun kepada RM512.8 bilion tahun lepas berbanding RM553.5 bilion pada 2019, sesuatu yang janggal kerana pertumbuhan PMKS sentiasa lebih tinggi berbanding sektor bukan PMKS sejak 15 tahun lepas.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Selasa telah mengemukakan kepada kerajaan cadangan SOP yang diperketatkan untuk membantu mempercepat pembukaan perniagaan secara selamat, terutamanya bagi kategori pertama ditutup, terakhir dibuka.
Menurut kementerian berkenaan, SOP diperketatkan itu menyarankan tumpuan kepada enam aktiviti ekonomi iaitu makanan dan minuman (makan dalam premis), pusat beli-belah, kedai jam, perkhidmatan perawatan kaki dan rias kuku (perkhidmatan dandanan), kedai solek/salun kecantikan dan kedai gunting rambut/salun rambut.
MEDAC berkata, hampir separuh daripada aktiviti perniagaan yang dikenal pasti itu dimiliki usahawan wanita iaitu antara golongan paling terjejas akibat Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara.- Bernama