
MIRI: Seorang ahli perniagaan tempatan kerugian RM165,750 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud, hanya kerana membalas mesej whatsApp daripada nombor tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah,Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.
Menurut beliau, lelaki berusia awal 40-an itu mula dihubungi pada 23 September oleh individu yang mendakwa tersilap menghantar mesej mengenai kereta yang dibaiki.
“Perkenalan tersebut berlarutan sehingga mangsa berkomunikasi melalui panggilan video dan berkenalan dengan seorang wanita yang kemudian memperkenalkan aplikasi pelaburan AIGOU.
“Mangsa diminta memuat turun aplikasi berkenaan dan diberitahu seolah-olah memiliki kedai sendiri di platform itu untuk menjual pelbagai barangan yang dibekalkan oleh ‘pembekal’.
“Setiap pesanan yang diterima memerlukan mangsa membuat pembayaran kepada pembekal supaya barang dapat dihantar.
“Mangsa telah melakukan 18 transaksi ke empat akaun bank berbeza milik suspek sebelum menyedari ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan keuntungan dijanjikan. Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM165,750,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta sebatan dan denda jika disabit kesalahan.
Oleh Liong Chai Ling