KUALA LUMPUR: Kerugian RM10 bilion yang ditanggung Lembaga Tabung Haji (TH) boleh menampung subsidi haji untuk lebih ramai jemaah muassasah khususnya daripada golongan B40 menunaikan ibadah itu bagi tempoh lebih 20 tahun.
Laporan pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH yang antara lain menunjukkan kelemahan tadbir urus dan pelaburan tidak berhemat, tidak sepatutnya berlaku sehingga mengundang defisit keyakinan ke atas keutuhan institusi berusia 63 tahun itu.
Justeru, tugas besar menanti institusi itu untuk mengembalikan kepercayaan ramai terhadap kredibiliti TH yang telah dibina sejak sekian lama.
Kerugian Boleh Tampung Belanja Haji
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan Islam di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata sekiranya kerugian TH sebanyak RM10 bilion sejak 2014 hingga 2020 dihisab secara purata, ia sebenarnya mampu memberi berita gembira kepada masyarakat Islam di Malaysia khususnya daripada B40 yang ingin menunaikan ibadah haji.
“Ini kerana dengan andaian kos haji golongan B40 sebanyak RM10,980 seorang (pada ketika itu), dijangka seramai 910,747 orang daripada golongan B40 mampu menunaikan haji dalam tempoh 25 tahun dengan purata 36,430 orang setahun.
“Jumlah ini sudah mewakili lebih daripada 0.1 peratus, kuota yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia berdasarkan jumlah penduduk kira-kira 34 juta orang.
“Ini merupakan satu angka yang sangat besar dan impaknya sangat panjang sehingga mencecah 25 tahun,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sebelum ini, bayaran asas jemaah muassasah dikekalkan pada paras RM9,980 dari 2014 hingga 2019, meskipun kos sebenar haji telah meningkat dan TH telah membiayai perbezaan kos menerusi pendapatan pelaburannya.
Namun, subsidi haji meningkat daripada RM106 juta pada 2014 kepada RM300 juta pada 2019.
Bagi musim haji 1447H/2026M, kerajaan mengekalkan kos tunai haji muassasah pada kadar RM33,300 seorang dengan kadar bayaran mengikut kategori pendapatan turut diteruskan iaitu RM15,000 bagi B40, RM23,500 (M40) dan bayaran penuh RM33,300 bagi T20 manakala TH menanggung baki perbezaan kos tersebut.

Kes Tabung Haji Beri Peringatan
Mohd Faisol berkata pendedahan laporan RCI TH memberi impak yang sangat besar bukan sahaja kepada pengurusan institusi itu sendiri, malah sebagai ‘peringatan’ kepada pihak lain termasuk Jabatan Audit Negara, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan dan khususnya kerajaan.
Beliau berkata isu itu bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh atau sebelah mata sahaja sebaliknya perlu ‘dihadam’ dan diteliti satu persatu oleh kerajaan supaya tidak berulang pada masa depan.
Katanya masyarakat Islam sangat sensitif dengan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan isu yang boleh mencemarkan TH, institusi Islam paling dipercayai, membantu masyarakat Islam menabung untuk melaksanakan ibadah haji serta mengurus jemaah haji secara selamat dan terancang.
“Pendedahan (laporan) RCI TH telah memberi satu kejutan yang sangat besar dan parah kepada para penyimpan apabila banyak kesalahan tatakelola oleh mereka yang diamanahkan untuk menguruskan TH.
“Kesalahan ini telah memberi kesan rantaian yang panjang kepada kedudukan kewangan sehingga pelbagai aset terpaksa dijual dan distrukturkan semula demi menyelamatkan TH,” katanya, sambil menambah laporan itu menunjukkan kelemahan pengurusan dari aspek tatakelola, pematuhan undang-undang, kepimpinan, pelaburan dan perakaunan serta pembaziran.

Kembalikan Keyakinan, Ambil Iktibar
Bagi memastikan TH mendapat semula keyakinan masyarakat Islam di Malaysia, Mohd Faisol berkata terdapat beberapa langkah yang boleh diambil antaranya tidak membenarkan lantikan orang politik dalam struktur pengurusan tertinggi TH dan anak syarikatnya.
Selain itu, katanya melantik menteri agama yang hanya mempunyai latar belakang dalam bidang agama dan dalam bidang ekonomi, kewangan atau perbankan Islam.
Beliau turut menyarankan wang bonus TH dikembalikan kepada pengurusan TH yang sebelum ini diberikan secara tidak beretika serta menghukum mereka yang terbukti bersalah menyeleweng dan cuba memanipulasi data dan dokumen serta keputusan yang menyebabkan kerugian dari tempoh 2014 hingga 2018.
RCI Tabung Haji sebelum ini mencadangkan bonus yang diberi kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan TH Properties berjumlah RM2.19 juta ditarik balik memandangkan bonus berkenaan diberikan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Masyarakat Islam akan memahami dan menerima keadaan ini tanpa perlu memperjudikan TH dengan menawarkan kadar hibah yang tinggi kepada pendeposit demi meraih undi masyarakat tetapi hakikatnya liabliti lebih tinggi daripada aset.
“Ini yang sebenarnya menjadi punca kerosakan TH pada masa akan datang dan wajib diperbetulkan. Masyarakat juga perlu faham bahawa TH bukan macam bank yang mementingkan keuntungan dalam setiap produk yang ditawarkan kepada pelanggan sebaliknya hanya membantu menguruskan tabungan untuk menunaikan haji dan membantu masyarakat Islam menunaikan haji secara sistematik dan selamat.
“Jika masyarakat faham, maka pemberian hibah yang rendah kepada pendeposit TH tidak menjadi isu kerana hibah hanyalah aksesori kepada simpanan di TH dan bukan keutamaan penyimpan,” katanya.
Beliau berkata langkah yang boleh ditambah baik oleh kerajaan adalah dengan memastikan apa yang dicadangkan oleh RCI itu dikuatkuasakan ke atas institusi tersebut.
“Mungkin sudah sampai masanya satu keputusan berani dan berwibawa perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang demi kelangsungan TH, iaitu dengan memperkukuh Akta Tabung Haji 1955 melalui menguatkuasakan akta TH yang melarang lantikan orang politik dalam struktur pengurusan tertinggi,” katanya.
Menerusi laporan RCI setebal 211 halaman, pelbagai faktor menjadi punca seperti pemberian bonus melampau, keputusan pelaburan yang merugikan, pengurusan tidak cekap dan lain-lain lagi.
Betapa sedihnya apabila sebuah institusi Islam yang menjadi contoh kepada banyak negara kerana pengurusan haji yang cekap, hampir musnah akibat kelemahan pengurusan.
Teguran BNM terhadap institusi itu sejak 2014 wajar diberi perhatian yang bimbang mengenai kedudukan kewangan dan pengurusan TH sebelum krisis berkenaan memuncak pada 2018.
Dengan pendedahan laporan RCI TH, diharapkan TH dapat mengembalikan keyakinan umat Islam dalam menguruskan dana yang besar dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan ummah.
Apa yang lebih penting ialah TH kembali kepada landasan asal penubuhannya seperti yang dicetuskan oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz pada 1959 bagi membantu umat Islam menunaikan rukun Islam kelima. – Bernama




