

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kes penyanyi Nurshahila Amir Amzah atau dikenali sebagai Shila Amzah yang mendakwa diserang penyanyi legenda lelaki ketika sesi latihan konsert baru-baru ini dijangka dirujuk kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Kuala Lumpur hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata ketika ini pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak PPN Kuala Lumpur untuk kajian dan arahan lanjut (pendakwaan). Setakat ini empat keterangan saksi termasuk pengadu sudah diambil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Mohamed Usuf dilaporkan berkata pihaknya telah merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan kes berkenaan, susulan laporan dibuat Shila di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5.31 petang, Khamis lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.– Bernama