KUCHING: Kerjaya penjaga profesional perlu diangkat sebagai satu industri ekonomi baharu berikutan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan yang semakin meningkat susulan perubahan demografi negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan melatih 2,000 penjaga profesional di seluruh Malaysia sehingga November ini.
“Sasaran inj merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk melahirkan 50,000 penjaga berkemahiran menjelang 2030.
“Sektor penjagaan bukan sahaja penting dalam membantu keluarga, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan, keusahawanan dan laluan kerjaya profesional.
“Untuk mencapai 50,000 itu, sasarannya adalah secara menyeluruh, bukan sahaja melibatkan pegawai kebajikan, tetapi juga penjaga bagi OKU, kanak-kanak, komuniti dan warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Sektor Penjagaan di bawah Belanjawan MADANI 2026 dan Kempen Penjagaan 2026, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kerajaan perlu memastikan penjaga diberikan latihan dan pengiktirafan sewajarnya supaya bidang berkenaan tidak lagi dilihat sebagai pekerjaan yang rendah martabat.
“Kita mahu memberi mereka peluang supaya mereka menjadi penjaga yang profesional.
“Terdapat permintaan daripada pihak hospital swasta yang mahu mendapatkan tenaga penjaga terlatih, termasuk menawarkan latihan, elaun dan peluang pekerjaan selepas tamat latihan,” jelasnya.
Tambah beliau, berdasarkan permintaan yang diterima, terdapat pihak hospital swasta yang menawarkan latihan selama tiga tahun kepada calon penjaga, selain gaji asas RM1,700 sebelum berpotensi menerima gaji RM3,000 selepas tamat latihan.
“Bila saya masuk kerja di kementerian, saya sudah kata ini akan menjadi satu industri yang akan membawa banyak ekonomi yang besar kepada negara kita kerana ramai orang mencari mereka menjadi penjaga profesional ini.
“Usaha melahirkan tenaga penjagaan profesional juga penting bagi memberi keyakinan kepada keluarga untuk mendapatkan khidmat penjaga terlatih bagi menjaga ibu bapa, anak-anak atau ahli keluarga yang memerlukan,” ujarnya.
Pembangunan sektor penjagaan secara profesional bukan sahaja dapat membantu keluarga mendapatkan perkhidmatan berkualiti, malah membuka ruang kepada golongan yang berminat menjadikan bidang berkenaan sebagai kerjaya dan sumber pendapatan.
Oleh Masrin Affirah




