SIBU: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Dr Sim Kui Hian berpuas hati terhadap bilik gerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi P211 Lanang dan P212 Sibu.
Beliau berterima kasih di atas semangat kerjasama yang erat antara komponen-komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kedua-dua kerusi parlimen tersebut.
“Pada petang ini, saya melawat bilik gerakan PRU-15 bagi P211 Lanang dan P212 Sibu. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada program dalam lawatan kerja saya ke Sibu, hari ini,” jelasnya pada sidang media, petang tadi.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata, kerusi Parlimen Sibu terdiri daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pelawan, Nangka dan Bawang Assan dan Parlimen Lanang dua DUN iaitu Bukit Assek dan Dudong.
“Ini memerlukan kerjasama yang erat daripada setiap DUN. Kami amat gembira dengan kerjasama cawangan dan ahli untuk memenangi kerusi P211 dan P212 kerana sudah terlalu lama ia berada di bawah Parti DAP, ” ujarnya.
Beliau menggesa semua pengundi di kedua-dua kerusi parlimen tersebut supaya mengundi calon GPS pada PRU-15 ini untuk rakyat Sarawak memperjuangkan hak mereka.
“Selepas 59 tahun ini, rakyat Sarawak akhirnya berpeluang kerana anda melihat pilihan raya ini pelik. Sebelum pilihan raya, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menawarkan kami jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Sejak bila orang mula menawarkan kami jawatan timbalan perdana menteri? Kali terakhir walaupun kami menang begitu besar, kami meminta dan meminta untuk mempertimbangkan jawatan itu tetapi mereka menolak,” ujarnya.
Turut hadir ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, calon GPS kerusi Parlimen Lanang Wong Ching Yong serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN