TANDATANGANI PERJANJIAN… Songsuda Panich, Sasha Nordin dan Choy Hong Yang menandatangani
perjanjian pembekalan dan kerjasama dengan Acquest Healthcare Stem Cell Research and Development Co. Ltd.
BANGKOK: Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (Malaysian Genomics), pakar genomik dan biofarmaseutikal terkemuka, bekerjasama dengan rakan kongsinya dari Thailand untuk meninjau peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam produk dan perkhidmatan baharu.
Semalam, Malaysian Genomics mengumumkan siri kerjasama untuk meningkatkan asas pelanggannya di Thailand.
Kumpulan itu menandatangani perjanjian pembekalan dan kerjasama dengan Acquest Healthcare Stem Cell Research and Development Co. Ltd, penyedia pelbagai terapi sel kepada hospital, doktor pakar dan pesakit di Thailand untuk menghasilkan sel T CAR untuk bekalan kepada pelanggan Acquest.\
Malaysian Genomics turut menandatangani perjanjian pembekalan dan kerjasama dengan Salus Holdings Co. Ltd., pakar dalam saringan kesihatan menggunakan sains dan teknologi untuk pengesanan penyakit awal dan menguruskan program intervensi gaya hidup yang berpangkalan di Bangkok membekalkan produk dan perkhidmatan biofarmaseutikal dan genomik kepada pelanggan Salus.
Kumpulan itu menandatangani surat niat dengan pakar estetik dan kesihatan, Marine Group Co. Ltd. dan Salus dalam penyelidikan bersama dalam penggunaan ujian saringan genetik dan produk kosmetik yang dirumuskan mengandungi ramuan terapi sel tertentu untuk penjanaan semula kulit dan rambut pesakit.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Bangkok, Mohamed Hafiz Md Shariff menghadiri majlis menandatangani perjanjian tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics, Sasha Nordin berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada strateginya untuk mengembangkan asas pelanggan melalui kerjasama dengan rakan kongsi perniagaan yang mempunyai kedudukan kukuh dalam segmen pasaran masing-masing.
“Kami menantikan hubungan yang membuahkan hasil dengan rakan kongsi kami di Thailand,” kata beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Acquest, Dr Roland Neff berkata, kerjasama itu adalah langkah pertama berikutan kedua-dua pihak meneroka kemungkinan menjalankan R&D bersama yang boleh menghasilkan produk dan perkhidmatan baharu boleh dikomersialkan.
“Kami mempunyai makmal klinikal terkini di Bangkok dan juga kemudahan kultur sel manusia yang khusus milik persendirian terbesar di negara ini,” kata beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Salus, Low Giin Lan berharap kerjasama dengan Malaysian Genomics akan memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran genetik untuk menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan.
“Di Salus, kami menggunakan sains dan teknologi untuk menyediakan perkhidmatan pengesanan penyakit, pencegahan dan peningkatan jangka hayat.”
“Kerjasama strategik itu mengekalkan nilai teras inovasi bersama kami untuk menawarkan teknologi baharu kepada pelanggan kami,” kata beliau. – Bernama