
BINTULU: Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam usaha memodenkan sektor perhutanan apabila Jabatan Hutan Sarawak menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak industri melalui penerokaan teknologi kultur tisu tumbuhan bagi memperkasakan pembangunan hutan ladang.
Inisiatif ini dizahirkan menerusi lawatan rasmi Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad ke fasiliti Kultur Tisu Tumbuhan milik Kumpulan Samling di Bintulu, yang turut disertai penyelidik dari kedua-dua pihak.
Lawatan tersebut disambut oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Samling, Yap Fui Fook.
Teknologi kultur tisu yang diperkenalkan Samling merupakan pendekatan bioteknologi moden bagi penghasilan klon Eucalyptus terpilih secara besar-besaran.
Berbanding kaedah konvensional yang bergantung kepada biji benih, pendekatan ini terbukti lebih efisien, mampu menghasilkan bahan tanaman berkualiti tinggi serta mempercepatkan kadar pertumbuhan pokok.
Dalam taklimat teknikal yang diadakan, Samling membentangkan hasil ladang Eucalyptus hibrid yang berasal daripada kultur tisu, mencatatkan peningkatan lebih 50 peratus dalam Peningkatan Purata Tahunan (MAI) berbanding ladang konvensional.
Penemuan ini bukan sahaja menjanjikan hasil yang lebih lumayan, malah menyumbang kepada kelestarian dan daya saing industri perkayuan Sarawak di peringkat global.
Melangkah ke hadapan, Samling menyasarkan pengeluaran 1.7 hingga 2.4 juta anak pokok bagi tahun 2025/2026, dengan perancangan untuk meningkatkan kapasiti makmal kepada lapan juta anak pokok setahun dan akhirnya mencapai 25 juta anak pokok setahun.
Usaha ini dilihat sejajar dengan matlamat Sarawak dalam membangunkan hutan ladang yang mampan dan berprestasi tinggi, sekali gus menyokong agenda transformasi hijau menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Kejayaan teknologi ini turut memperlihatkan kepentingan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam meneroka inovasi baharu bagi menjamin kelestarian sumber semula jadi dan menjana ekonomi masa depan.