
KUALA LUMPUR: Krisis tenaga global memberi impak langsung terhadap ketersediaan peranti perubatan kritikal dan produk import berisiko tinggi di pasaran tempatan. Namun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menegaskan bahawa kedudukan bekalan peranti perubatan di dalam negara adalah kekal stabil dan terkawal menerusi pemantauan rapi serta langkah-langkah mitigasi yang telah dilaksanakan secara berterusan.
Sebagai langkah proaktif, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah memuktamadkan satu persetujuan strategik bersama pihak berkuasa China untuk meningkatkan pembekalan bahan mentah resin dan nafta untuk kegunaan industri tempatan.
Inisiatif ini bertujuan menstabilkan rantaian bekalan serta memastikan kelangsungan pengeluaran peranti perubatan kritikal di Malaysia. Bekalan tambahan tersebut akan berfungsi sebagai pemangkin utama dalam menampung kekurangan bahan mentah semasa bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan negara.
Persetujuan ini dicapai hasil perbincangan strategik yang dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif MDA merangkap Pengerusi Global Harmonization Working Party (GHWP), bersama Pengarah China (Shanghai) Pilot Free Trade Zone Administration dan Timbalan Datuk Bandar, Pudong New Area.
Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan China atas komitmen padu dalam menyokong kestabilan rantaian bekalan bahan mentah industri peranti perubatan serantau. KKM akan terus memantau situasi ini secara rapi dan memastikan pengedaran bekalan dilaksanakan secara cekap dan berhemah, berasaskan keperluan klinikal demi kesejahteraan rakyat. – Bernama