
KUCHING: Sarawak bersedia membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada tenaga kerja terlatih dari Indonesia, termasuk dalam bidang profesional seperti veterinar dan kejuruteraan.
Perkara ini adalah susulan daripada pertemuan antara Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (P2MI), Abdul Kadir Karding di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha bersama kedua-dua pihak untuk memperluas sektor penempatan pekerja migran Indonesia di negeri ini, yang sebelum ini tertumpu kepada bidang pertanian dan perladangan.
“Bukan sahaja ladang, kita juga berbincang tentang keperluan profesional seperti doktor haiwan dan jurutera. Sarawak memerlukan tenaga kerja yang mahir untuk sama-sama membangunkan negeri ini,” kata Dr Stephen dalam kenyataannya.
Karding dalam pertemuan itu turut menyuarakan komitmen Indonesia untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan Sarawak, memandangkan negara tersebut memiliki lebih 152 juta tenaga kerja aktif.
“Kami bersedia menghantar tenaga kerja yang bukan sahaja ramai, tetapi juga memenuhi standard kemahiran yang diperlukan Sarawak,” ujarnya.
Kedua-dua menteri turut sependapat bahawa isu pekerja migran tidak berdokumen perlu ditangani secara serius.
Karding menegaskan pentingnya kerjasama untuk meminimumkan kemasukan pekerja secara tidak sah, yang disifatkan sebagai beban kepada kedua-dua negara.
“Kami sedang memperkemas sistem di dalam negara agar lebih ramai pekerja dihantar secara prosedur yang sah. Dalam masa yang sama, kami berharap Sarawak juga melaksanakan dasar yang boleh membantu mengurangkan pengambilan pekerja secara tidak prosedural,” tambahnya.
Dr Stephen turut memaklumkan bahawa beliau telah dijemput ke Indonesia bagi meneruskan perbincangan dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pengambilan tenaga kerja Indonesia secara rasmi.
“Kita akan rasmikan kerjasama ini menerusi satu MoU, bagi memastikan proses pengambilan pekerja berjalan lancar dan kebajikan mereka terjamin,” katanya.
Lawatan ini sekali gus mencerminkan kesediaan Sarawak untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam aspek pembangunan tenaga kerja, sambil memberi peluang lebih luas kepada rakyat Indonesia untuk menyumbang dalam pembangunan ekonomi negeri ini secara sah dan beretika.
Oleh Amanda L