
PETRA JAYA: Kerajaan Belanda menyuarakan hasrat untuk menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak dalam pembangunan pelabuhan dan sektor maritim negeri ini termasuk pertukaran teknologi dan kepakaran pengurusan pelabuhan moden.
Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner berkata, pihaknya menyambut baik aspirasi dan rancangan Sarawak memperkasa sistem pelabuhan sebagai pemangkin ekonomi baharu negeri.
“Perancangan dan aspirasi Sarawak dalam bidang pelabuhan sangat mengagumkan, dan kami mempunyai sejumlah besar syarikat dari Belanda yang boleh membantu mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh Sarawak untuk pelabuhan dan sistem maritimnya.
“Sebagai contoh, dalam bidang pengorekan, perancangan pelabuhan serta perisian dan inovasi dalam pengurusan pelabuhan.
“Oleh itu, kami sangat gembira berada di sini untuk mengetahui tentang rancangan itu dan melihat bagaimana kami boleh menyumbang dan bagaimana kami boleh menjalin perkongsian antara Belanda dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Jacques turut menjelaskan, misi pelabuhan Belanda ke Sarawak melibatkan sebanyak 10 syarikat dari Belanda dan Asia Tenggara yang berminat meneroka peluang kerjasama dalam sektor pelabuhan dan maritim termasuk dalam aspek pertukaran pengetahuan serta teknologi.
“Apabila kami bekerjasama dengan rakan dari Sarawak, perkongsian ilmu dan inovasi akan menjadi sebahagian daripada kerjasama itu.
“Syarikat Belanda sentiasa berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang telah terbukti berkesan di negara kami,” ujarnya.
-UKAS