
LIMBANG: Penduduk yang mendiami kawasan pesisir dan sempadan merupakan benteng pertama dalam usaha mencegah jenayah serta ancaman keselamatan negara.
Wakil Residen Bahagian Limbang, Mohd Sobree Damit, berkata penglibatan aktif serta kerjasama masyarakat amat penting bagi menangani sebarang aktiviti tidak sah seperti penyeludupan, pencerobohan atau penangkapan ikan secara haram dengan melaporkannya lebih awal kepada pihak berkuasa.
“Ancaman terhadap keselamatan tidak semestinya datang dari luar semata-mata. Kadangkala, ia berpunca daripada sikap segelintir individu dalam negara sendiri yang mengambil mudah isu keselamatan dan sanggup melanggar undang-undang demi kepentingan peribadi.
“Justeru, kita semua bertanggungjawab memastikan nilai patriotisme dan kesetiaan kepada negara sentiasa tersemat dalam diri setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Komuniti ‘Randau Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’ di Dewan Kampung Limpaku Pinang, di sini, hari ini.

Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak itu turut dihadiri Pengarah Keselamatan Negeri MKN Sarawak, Mohammad Haffizie Putit, Timbalan Komander Pasukan Polis Marin PDRM Wilayah 5, Superintenden Rusdin Banin, Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang, DSP Peter Jumat, serta Ketua Kampung Limpaku Pinang, Simatzaman Sapar.
Menurut Mohd Sobree, kedaulatan sesebuah negara tidak akan wujud tanpa keamanan yang dipelihara bersama.
“Setiap rakyat mempunyai tanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan tanah air sentiasa terpelihara.
“Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan atau agensi penguat kuasa semata-mata,” jelasnya.
Tambah beliau, kejayaan dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negara hanya dapat dicapai melalui kerjasama berterusan antara kerajaan dan rakyat.
Oleh Adeng Edrus