
MUKAH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan penting dalam menghadapi pelbagai ancaman keselamatan moden masa kini, termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian serta isu keselamatan komuniti yang semakin mencabar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kerjasama erat antara pihak polis dan masyarakat amat penting bagi memastikan usaha pencegahan jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Saya percaya pendekatan kepolisan komuniti yang dilaksanakan oleh PDRM akan terus memperkukuhkan hubungan antara polis dan masyarakat.
“Apabila kedua-dua pihak bergerak seiring, usaha membanteras jenayah serta memelihara keselamatan akan menjadi lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah di Dewan Serbaguna IPD Mukah, petang tadi.
Menurutnya, sambutan tersebut bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota PDRM dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Katanya, sejak penubuhannya lebih dua abad lalu, PDRM memainkan peranan besar dalam mempertahankan keamanan negara.
“Di sebalik ketenangan yang dinikmati masyarakat hari ini, terdapat pengorbanan besar anggota polis yang sentiasa bersedia berdepan pelbagai cabaran dan risiko demi melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga IPD Mukah yang komited dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam di daerah tersebut.
“Komitmen, disiplin dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh pasukan polis merupakan tunjang utama dalam memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan dengan aman dan harmoni,” katanya.
Beliau berharap PDRM akan terus kekal sebagai pasukan yang disegani serta menjadi benteng utama keamanan negara.
“Selamat menyambut Hari Polis ke-219 dan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin,” katanya.
Turut hadir ialah ADUN Tellian, Royston Valentine dan Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias.
Oleh Akun Giman