
KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam pengurusan sektor minyak dan gas kekal utuh meskipun terdapat laporan media yang cuba menggambarkan sebaliknya.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata kenyataan yang disiarkan portal Free Malaysia Today (FMT) baru-baru ini seolah-olah mahu mewujudkan persepsi wujud pertentangan antara kedua-dua pihak sedangkan hakikatnya kerjasama terus berjalan berlandaskan undang-undang.
Menurutnya, Sarawak telah mengeluarkan minyak dan gas sejak tahun 1910, iaitu sebelum pembentukan Malaysia dan hak negeri terhadap sumber tersebut dilindungi Oil Mining Ordinance 1958 (OMO 1958) yang kekal berkuat kuasa menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC Report).
Beliau menjelaskan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) hanya terpakai kepada negeri-negeri yang tidak mempunyai undang-undang minyak dan gas sendiri manakala Sarawak terus mengawal selia sumber tersebut di bawah undang-undang negeri.
“Perkara ini turut diperakui melalui perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Sarawak melalui PETROS yang membuktikan wujudnya kerjasama bukan pertentangan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Persekutuan dan negeri beroperasi dalam bidang kuasa masing-masing secara harmoni tanpa menjejaskan kuasa pihak lain serta tidak wajar media memutar fakta bagi menggambarkan seolah-olah wujud permusuhan.
“Saya tidak pernah merujuk kepada Menteri Undang-Undang dalam kenyataan sebelum ini. Kenyataan saya ditujukan khusus kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang kerana kenyataannya tidak tepat dan perlu diperbetulkan berdasarkan kerangka undang-undang sebenar,” ujarnya.
Beliau berkata hubungan kerja yang saling menghormati berasaskan Perlembagaan dan MA63 telah lama dikekalkan dan fokus kerajaan kekal pada penegakan undang-undang, mempertahankan hak Sarawak serta memastikan Malaysia mendapat manfaat daripada sumber petroleum negara.