KUALA LUMPUR: Menteri-menteri Kewangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menekankan perlunya kerjasama pelbagai hala diselaraskan ke arah memastikan pemulihan ekonomi yang kuat dan mampan daripada kesan pandemik ini dalam kalangan negara anggota.
Dalam satu kenyataan bersama, para Menteri Kewangan menyatakan anggota ekonomi juga perlu terus bertukar pengalaman dan amalan baik.
“Berikutan kemerosotan ekonomi serantau yang teruk serta cabaran yang disebabkan oleh Covid-19 terhadap kelestarian fiskal, kami menegaskan komitmen kami untuk mempromosikan kepastian cukai dan menangani penghindaran dan pengelakan cukai di rantau APEC,” demikian menurut kenyataan Peringkat Menteri Kewangan Maya APEC mengenai Menangani dan Pemulihan Pandemik Covid-19 pada Jumaat.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan berikutan perbincangan yang telah diadakan pada Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Maya APEC yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam kenyataan itu, para menteri juga menekankan pentingnya Kerangka Inklusif Kumpulan 20/Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengenai “Base Erosion and Profit Shifting” (BEPS) untuk terus meningkatkan usaha mengenai cabaran cukai yang timbul daripada digitalisasi dengan tujuan mencapai penyelesaian global dan berdasarkan persetujuan sebulat suara.
Mereka turut menyedari pandemik Covid-19 akan memberi kesan besar terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.
“Dengan menganggarkan penguncupan pertumbuhan KDNK dan perbelanjaan kerajaan untuk langkah-langkah tindak balas dan pemulihan, kedudukan fiskal ekonomi berada di bawah tekanan.”
“Kami mengakui keperluan yang sedang dilaksanakan untuk memajukan langkah-langkah rangsangan bagi membantu pemulihan dan pada masa sama maklum akan pentingnya untuk meningkatkan kelestarian fiskal dan ketelusan dalam menyokong pembangunan berdaya tahan jangka panjang dan keperluan pembiayaan masa depan,” kata mereka.
Menteri-menteri Kewangan turut bertekad untuk terus menggunakan semua alat dasar yang ada untuk menyokong tindak balas segera terhadap pandemik Covid-19 dan bergerak ke arah pemulihan yang kukuh, lestari, seimbang dan inklusif.
“Ini termasuk menyokong sektor dan pekerja yang paling terdedah serta menangani impak krisis ekonomi dan sosial yang tidak seimbang terhadap segmen masyarakat yang lebih mudah terjejas.”
Dalam hal ini, para menteri juga menyedari pentingnya usaha Institusi Kewangan Antarabangsa (IFI) untuk memudahkan pengurusan kewangan awam.
Seterusnya, mereka berjanji memberi sokongan kepada perkembangan diagnostik, terapi dan vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan, dengan tujuan menyokong akses yang adil dan saksama untuk semua. – Bernama