
KUCHING: Usaha memperkukuh pengurusan perikanan lestari di Sarawak diperkasa menerusi kerjasama lebih 80 nelayan, pegawai perikanan, saintis, agensi kerajaan serta organisasi pemuliharaan dalam Bengkel Pengurusan Perikanan Lestari Sarawak yang berlangsung di sini baru-baru ini.
Bengkel anjuran bersama Jabatan Perikanan Laut Sarawak dan Marine Research Foundation dengan sokongan Yayasan Sime Darby, Paul M. Angell Family Foundation serta Ocean Park Conservation Foundation Hong Kong itu menjadi platform bagi pemegang taruh berkongsi pengetahuan, pengalaman tempatan serta mengenal pasti penyelesaian praktikal bagi memastikan sumber perikanan terus terpelihara.
Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, laut bukan sekadar sumber pendapatan, malah merupakan warisan semula jadi bersama yang perlu diurus secara bertanggungjawab.
Ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Bahagian Pemuliharaan dan Perlindungan Perikanan, Dokanaer Kasto anak Muning.
Menurutnya, pengurusan perikanan berasaskan sains dan ekosistem penting dalam menangani cabaran seperti kemerosotan stok ikan, kemusnahan habitat, perubahan iklim serta pemuliharaan spesies marin terancam.
“Keputusan yang dibuat hari ini akan menentukan keadaan sumber perikanan untuk generasi akan datang,” katanya.
Sepanjang bengkel, peserta terlibat dalam sesi pembentangan, aktiviti interaktif serta perbincangan kumpulan fokus bagi meneroka kaedah mengurangkan tangkapan tidak sengaja spesies marin terancam termasuk jerung, pari, penyu, dugong dan ikan lumba-lumba.
Peserta turut mengenal pasti kawasan penting bagi spesies jerung dan pari di perairan Sarawak berdasarkan pengetahuan komuniti nelayan, sekali gus menyumbang kepada perancangan pemuliharaan pada masa depan.
Bengkel itu menghimpunkan nelayan dari Kuching, Santubong, Sibu, Bintulu dan Miri, selain pegawai perikanan dari ibu pejabat serta pejabat daerah.
Turut menyertai program tersebut ialah wakil Sarawak Coast Guard, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Southeast Asian Fisheries Development Center (SEAFDEC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan WWF-Malaysia.
Pegawai Pemuliharaan Kanan Marine Research Foundation, Ho Kooi Chee berkata, pengurusan perikanan lestari bermaksud menggunakan sumber perikanan secara bijaksana supaya manfaatnya dapat dinikmati kini tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang.
Katanya, penglibatan komuniti nelayan amat penting kerana mereka mempunyai pengalaman langsung berkaitan perubahan ekosistem marin dan cabaran yang dihadapi di lapangan.
“Pandangan serta cadangan daripada nelayan akan membantu memastikan langkah pemuliharaan yang dilaksanakan lebih praktikal, inklusif dan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Laut Sarawak terus memperkukuh usaha pengurusan perikanan bertanggungjawab menerusi pendekatan berasaskan sains.
Sejak 2024, jabatan berkenaan bersama Marine Research Foundation telah melaksanakan bengkel pengenalan penggunaan Peranti Pengecualian Penyu (Turtle Excluder Devices, TEDs) kepada nelayan di seluruh Sarawak.
Selain itu, sistem pemantauan elektronik SharkCam turut dipasang pada bot nelayan bagi mengenal pasti kawasan penting untuk pemuliharaan spesies marin terancam serta mengurangkan tangkapan tidak sengaja.
Bengkel berkenaan menyaksikan komitmen berterusan antara agensi kerajaan, penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti nelayan dalam memastikan sumber perikanan Sarawak diurus secara mampan untuk jangka panjang.



