
BINTANGOR: Kerjasama erat antara Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), ibu bapa dan komuniti setempat amat penting dalam memastikan perkembangan menyeluruh kanak-kanak prasekolah terus diperkasa, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia.
“Saya menyeru semua pihak agar terus memberikan sokongan dan kerjasama, sama ada dalam bentuk sumbangan, tenaga mahupun idea bagi memastikan setiap program dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya akan terus menyokong usaha yang memberi manfaat kepada pendidikan serta pembangunan masyarakat di kawasan Meradong,” katanya.
Koung Hiing berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra dan Jalinan Kasih Unit Prasekolah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sarikei 2026 semalam.
“Penganjuran majlis ini amat bermakna kerana mampu mengeratkan hubungan antara pihak KEMAS, ibu bapa dan komuniti setempat.
“Tahniah juga kepada pihak KEMAS Sarikei, khususnya Unit Prasekolah, atas usaha berterusan dalam mendidik serta membentuk sahsiah anak-anak di peringkat awal,” katanya.
Beliau turut dimaklumkan bahawa pelbagai program telah dirancang oleh pihak KEMAS Sarikei sepanjang tahun ini dan usaha tersebut wajar diteruskan serta disokong demi kebaikan bersama.
Selain itu, katanya, usaha menaik taraf Tabika KEMAS yang uzur turut akan dilaksanakan melalui permohonan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Meradong bagi 2027.
Sebagai tanda sokongan, Koung Hiing mengumumkan penyaluran geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak KEMAS Bahagian Sarikei.
Turut hadir ialah Pegawai KEMAS Bahagian Sarikei, Wan Zairul Wan Zain; wakil Pegawai Daerah Meradong, Mastia Jaini; serta Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Tabika dan Taska KEMAS Sarikei, Abdul Hafiz Siri.
Oleh Earl Anek