
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes buli di sekolah yang semakin membimbangkan dan menegaskan bahawa isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata, ibu bapa serta pihak sekolah perlu berganding bahu dalam memantau tingkah laku, pergerakan dan perubahan emosi anak-anak bagi mengelakkan masalah sosial itu daripada menular, khususnya di kawasan Kabong.
“Pendidikan adalah benteng masa depan generasi muda. Kita tidak boleh membiarkan masalah seperti buli terutamanya di peringkat sekolah memusnahkan masa depan mereka,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Chee Kadir berkata, PIBG bukan sekadar sebuah entiti pengurusan kewangan, malah berperanan penting dalam menyokong pembangunan menyeluruh sekolah.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada para ibu bapa yang sentiasa memberi komitmen terhadap pelbagai program pendidikan di peringkat akar umbi.
Chee Kadir turut memaklumkan bahawa satu sesi dialog bersama agensi pelaksana, kontraktor dan konsultan akan diadakan pada Khamis depan bagi membincangkan isu jalan keluar masuk ke SK Abang Leman Kabong.
Sementara itu, Yang di-Pertua PIBG, Mollyady Sapali menggesa agar penglibatan aktif ibu bapa dapat terus diperkasakan, selain menyifatkan sokongan berterusan ADUN Kabong itu sebagai pemangkin kepada pembangunan sekolah.
Pada majlis sama, Chee Kadir mengumumkan sumbangan peruntukan projek khas kerajaan Sarawak berjumlah RM10,000 kepada PIBG SK Abang Leman Kabong sebagai tanda sokongan kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan setempat.
Turut hadir, Guru Besar SK Abang Leman Kabong Majenin Jahar, Naib Yang Dipertua PIBG Zulkhibri Jarawi, Pengerusi Alumni SK Abang Leman Kabong Kaunselor Ulin Tabur, serta para ibu bapa.
Oleh Adi Safarman