
SIMANGGANG: Kerjasama erat antara ibu bapa, guru, dan komuniti setempat merupakan tunjang utama dalam memastikan kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar terus mampan.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menegaskan bahawa sinergi antara semua pihak berkepentingan ini bukan sahaja membantu dalam pencapaian gred yang baik, malah membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif bagi anak-anak di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Lawrence, dekat sini kelmarin.

Dalam majlis tersebut, Doris turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah atas jemputan dan peluang yang diberikan untuk beliau menyantuni warga pendidik serta para ibu bapa bagi membincangkan hala tuju pendidikan di peringkat akar umbi.
Menyentuh mengenai peluang masa hadapan, beliau menggalakkan ibu bapa agar peka dan merebut segala inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
Antaranya termasuklah sasaran pendidikan tinggi percuma, khususnya dalam bidang teknikal yang kini menjadi permintaan utama pasaran kerja.

Selain itu, Doris memuji pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) yang dilihat mampu melahirkan generasi muda Sarawak yang lebih berdaya saing di peringkat global melalui penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu secara seimbang.
Kepada golongan pendidik, beliau mengingatkan agar sentiasa memberikan yang terbaik dalam pengajaran.
Beliau menekankan bahawa profesion perguruan bukan sekadar kerjaya, malah merupakan satu amanah dan komitmen besar dalam membentuk watak pemimpin masa hadapan negara.
Doris berharap agar semua pihak terus berganding bahu dan tidak melepaskan tanggungjawab masing-masing demi memastikan masa depan pendidikan anak-anak di Sri Aman terus terbela dan mencapai tahap yang membanggakan.
Oleh Adi Safarman