
SIMUNJAN: Kerjasama antara Jabatan Hutan Sarawak (FDS) dan Cahya Mata Sarawak (Cahya Mata) berjaya merekodkan penanaman kumulatif sebanyak 7,507 anak pokok spesies tempatan di Hutan Simpan Sabal setakat tahun ini menerusi siri ketiga Program Penanaman Pokok yang berlangsung hari ini.
Program tersebut melibatkan penyertaan 175 peserta daripada pelbagai agensi, institusi pendidikan dan komuniti setempat dengan sebanyak 2,507 anak pokok spesies bernilai tinggi seperti meranti, kapur, engkabang jantong, lun dan selangan batu ditanam di kawasan hutan simpan berkenaan.
Aktiviti penanaman itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memulihkan kawasan hutan terosot serta memperkukuh inisiatif Pemulihan Landskap Hutan (FLR) di Sarawak.
Menurut FDS, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam menyokong Kempen Menghijaukan Sarawak di samping menyumbang kepada usaha pemulihan hutan dan pemuliharaan biodiversiti secara jangka panjang.
Program berkenaan turut disertai wakil daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan serta penduduk setempat.


Selain memulihkan landskap hutan yang terjejas, program itu turut menjadi platform meningkatkan kesedaran alam sekitar, menggalakkan penyertaan komuniti serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat dalam menjayakan inisiatif kelestarian.
Pelaksanaan program seumpama itu dilihat penting bagi memastikan kesihatan dan daya tahan ekosistem hutan Sarawak terus terpelihara demi manfaat generasi akan datang.