Penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun lalu meninggalkan kesan yang cukup besar dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.
Paling ketara sudah tentu ramai dilaporkan kehilangan pekerjaan apabila syarikat yang menjadi tempat bergantung kebanyakannya kini sudah gulung tikar.
Disebabkan itu, golongan terjejas mencari alternatif lain bagi menjana pendapatan tambahan termasuk bekerja sebagai penghantar bermotosikal untuk menampung keperluan harian.
Begitu juga nasib yang menimpa Kamaruddin Zawawi, 40 tahun, apabila dia perlu melakukan dua pekerjaan sebagai ‘rider’ Grab Food dan pengawal keselamatan bagi menyara keluarganya.
Dia yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di Klinik Kesihatan Samarahan berkata, kira-kira setahun lalu dia mula berkecimpung dalam pekerjaan perkhidmatan e-hailing setelah negara dilanda pandemik Covid-19.
“Disebabkan pandemik, ekonomi semakin merosot bahkan keperluan harian turut terjejas. Dari situ saya mula sedar, satu gaji sahaja tidak cukup untuk menampung kehidupan kami dan saya terpaksa tambah pekerjaan sampingan sebagai ‘rider’,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak semalam.
Melakukan dua pekerjaan bermakna Kamaruddin perlu mengorbankan masa bersama-sama isteri dan anaknya. Namun jejaka yang menetap di Kampung Tanjung Bundong ini sedaya upaya cuba memberikan yang terbaik untuk keluarganya.
“Saya akui perlu korbankan masa bersama-sama anak dan isteri tetapi apa yang saya lakukan ini pun demi mereka juga. Nasib baik isteri saya seorang yang memahami. Dia faham saya perlu mencari duit untuk membeli barang rumah dan keperluan anak kami,” ujar Kamaruddin.
Menurut graduan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Danial Abdullah Arif Daud, 20 tahun, sama seperti penghantar lain, dia juga tidak terlepas daripada cabaran berpanas dan meredah hujan di jalanan demi menggalas tanggungjawab yang diamanahkan pelanggannya.
Tambah Danial, cabaran lain perlu dilaluinya ialah menitikberatkan aspek keselamatan terutama menunggang pada waktu hujan dan di tempat sunyi pada malam hari.
“Jadi rider ni macam-macam cabaran. Hadap hujan panas, jalan sesak, kereta tukar lorong tak bagi signal, order tak ada dalam beberapa jam. Itu sudah menjadi kebiasaan hidup sebagai rider. Ada order ada la duit untuk kami.
“Kalau hujan kita tahu jalan basah, jadi saya akan pastikan menunggang motosikal dengan perlahan saja,” katanya yang turut mendedahkan pendapatan seharian sebagai rider mampu mengaut keuntungan sehingga lebih dari RM100 sehari.
Manakala bagi seorang lagi jejaka yang menjadikan kerjaya penghantar makanan sebagai pekerjaan sepenuh masa, Muhammad Khairuddin Syahmi, 24 tahun mengakui pernah berhadapan insiden mencemaskan sepanjang menjadi rider.
Bagaimanapun kata Syahmi, dia amat berterima kasih di atas pertolongan sesama rider yang diberikan terhadapnya pada ketika itu.
“Bonding diantara kami kuat walaupun tak kenal rapat. Pernah sebelum ini, semasa buat penghantaran tiba-tiba rantai motor saya terputus, mujur ada rider yang sudi menolong.
“Kalau ada rider yang terlibat kemalangan, kami akan segera bantu sebaik mendapat maklumat yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp Group.
“Tak kira kenal atau tidak, bila seseorang rider ada masalah mesti kami akan cuba bantu yang mana boleh,” katanya yang berasal dari Asajaya terbabit.
Oleh SYAMIMI HUSNA