Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Kerja pembinaan kabel kuasa bawah laut Singapura-Sarawak bermula 2026
  • BISNES

Kerja pembinaan kabel kuasa bawah laut Singapura-Sarawak bermula 2026

Utusan Sarawak 18 hours ago

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong (kanan sekali) dan Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg (kiri sekali) menyaksikan majlis penyerahan kelulusan bersyarat kepada Sembcorp Utilities pada 17 Oktober. Foto MTI

SINGAPURA: Pembinaan kabel kuasa dasar laut bagi membekalkan tenaga elektrik dari Sarawak ke Singapura dijadual bermula pada 2026, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Akhbar The Straitstimes memetik  Abang Johari sebagai berkata bahawa Sarawak dan Singapura menandatangani perjanjian pembelian tenaga pada 17 Oktober.

Kerajaan Singapura dan Malaysia sebelum ini telah berbincang mengenai penghantaran 1 gigawatt (GW) tenaga — terutamanya tenaga hidroelektrikyang dijana di Sarawak.

Menurut Abang Johari, kedua-dua pihak mensasarkan permulaan projek pada 2026, bergantung kepada penyelesaian kekurangan bekalan kabel dasar laut global yang dijangka dapat diatasi menjelang akhir 2025.

“Kedua-dua kerajaan Singapura dan Sarawak, dengan sokongan kerajaan Malaysia, telah bersetuju bahawa kerja pembinaan kabel mesti bermula selewat-lewatnya tahun depan,” katanya selepas merasmikan Sarawak Mega Fair di Suntec Singapore Convention and Exhibition Centre, di sini kelmarin.

Semalam, Energy Market Authority (EMA) Singapura dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa pihaknya telah memberi kelulusan bersyarat kepada Sembcorp Utilities, yang bekerjasama dengan rakan konsortium Sarawak Energy, untuk mengimport 1GW tenaga rendah karbon dari Sarawak ke Singapura.

“Ini menandakan fasa baharu dalam kerjasama tenaga antara kedua-dua negara,” kata EMA dalam kenyataan itu.

Upacara penyerahan kelulusan bersyarat tersebut diadakan secara serentak di Kuala Lumpur dan Singapura pada 17 Oktober.

Di Singapura, majlis disaksikan oleh Abang Johari bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong.

Majlis di Kuala Lumpur pula disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, bersama Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi serta Menteri Sumber Manusia Singapura, Tan See Leng, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM).

EMA dalam kenyataannya berkata pihaknya telah menilai secara awal bahawa projek tersebut adalah berdaya maju dari segi teknikal dan komersial untuk membekalkan tenaga hidroelektrik dari Sarawak ke Singapura.

“Untuk projek ini diteruskan, konsortium perlu mendapatkan semua kelulusan daripada bidang kuasa berkaitan, termasuk negara-negara yang akan dilalui oleh kabel penghantaran,” kata EMA.

“Kelulusan bersyarat ini memberikan sokongan peraturan kepada konsortium untuk terus membangunkan projek bagi mencapai tarikh operasi komersial yang disasarkan sekitar 2035.”

“Import tenaga rendah karbon merupakan elemen penting dalam strategi Singapura untuk mengurangkan pelepasan karbon sektor tenaga, yang kini menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pelepasan karbon negara itu.

Menurut laporan AFP, tiga empangan hidroelektrik utama Sarawak kini menjana kira-kira 3.5GW tenaga elektrik — cukup untuk menyalakan dua hingga tiga juta isi rumah di Asia Tenggara setiap hari.

“Sebuah empangan keempat sedang dirancang, dengan matlamat Sarawak untuk menjana 10GW tenaga menjelang 2030, termasuk daripada sumber solar dan gas asli.

Dengan populasi sekitar 2.5 juta orang, Sarawak kini menjana lebih banyak tenaga daripada yang digunakan, membolehkan negeri itu menjual lebihan kuasa kepada negara jiran.

Abang Johari turut memaklumkan bahawa kira-kira 70 peratus daripada 700km kabel dasar laut akan melalui perairan Indonesia, dan Jakarta turut menunjukkan minat terhadap projek itu.

“Indonesia sangat positif terhadap inisiatif ini, cuma rundingan masih berjalan,” katanya.

Menurut laporan The Straitstimes lagi, 

Singapura dan Malaysia juga bersetuju untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan penuh bagi sambungan kuasa kedua antara republik itu dan Semenanjung Malaysia dengan kapasiti potensi 2GW.

Sambungan kedua ini bertujuan mengukuhkan kerjasama tenaga rentas sempadan dan menambah kapasiti perdagangan elektrik antara kedua-dua negara, dengan operasi disasarkan bermula menjelang 2030.

Perjanjian bagi kajian tersebut telah ditandatangani pada 17 Oktober antara Tenaga Nasional Berhad (TNB), SP Group (pengendali grid nasional Singapura) dan Singapore Energy Interconnections, syarikat yang dilantik kerajaan untuk membangunkan dan mengurus sambungan elektrik rentas sempadan bagi membolehkan import tenaga ke Singapura.

“Kajian kebolehlaksanaan untuk sambungan kedua Malaysia–Singapura ini merupakan langkah penting ke arah memperluas perdagangan tenaga rentas sempadan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Sambungan pertama antara kedua-dua negara diwujudkan pada 1983 bagi menyokong kestabilan grid kuasa kedua-dua pihak.

Ia dinaik taraf pada 2022 bagi membolehkan aliran tenaga dua hala sebanyak 1GW, dan kini menyokong dua projek perdagangan tenaga rentas sempadan — iaitu Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) dan Projek Perdagangan Tenaga Malaysia (Energy Exchange Malaysia).

Continue Reading

Previous: Petronas Carigali pacu strategi aset bernilai tinggi, teroka kawasan baharu berpotensi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.