KUCHING: Kerja pembaikan bumbung di Sekolah Kebangsaan (SK)
Siniawan dan SK Serembu yang rosak akibat angin kencang pada 25 November lalu, akan dijalankan pada musim cuti sekolah bulan depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh (gambar) berkata pihaknya telah bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk menyelesaikan perkara itu.
“Namun, pelaksanaannya mengambil sedikit masa kerana terikat dengan prosedur kewangan yang ditetapkan kerajaan.
“Kami tahu walau apa pun yang berlaku, kami akan baiki sekolah-sekolah ini. Kami hanya perlukan masa.
“Kami juga memerlukan peruntukan daripada pihak kerajaan. Apabila ini melibatkan pembiayaan kerajaan, ada peraturan kewangan tertentu yang mesti kita patuhi.
“Dana itu telah diluluskan dan disalurkan ke Sarawak. Seterusnya, kami akan membuka tender projek dalam masa terdekat. Saya memohon kepada yang terlibat untuk bersabar,” katanya kepada pemberita selepas forum kepemimpinan ‘Inisiatif Sarawak’ bertajuk ‘Belia Borneo: Ejen Perubahan Malaysia Baharu’ di sebuah hotel di sini, hari ini.
Miro berkata penjelasan itu penting selepas pihak tertentu meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang perlu selepas tiada tanda-tanda kerja pembaikan fizikal dilihat di sekolah berkenaan.
Katanya, bangunan sekolah yang terjejas telah diasingkan, dan pelajar dipindahkan ke bangunan lebih selamat untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.
“Kita akan baiki (bumbung). Kita sudah ada wang. Saya jamin itu. Saya dimaklumkan (mengenainya) oleh Jabatan Pendidikan Sarawak bahawa kita ada wang,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal