
SIBU: Projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim di sini kini mencatat kemajuan memberangsangkan apabila mendahului jadual dengan pencapaian fizikal sebanyak 25.48 peratus, berbanding 16.63 peratus yang disasarkan setakat ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, kemajuan projek yang dilaksanakan oleh Lembaga Air Sibu (LAS) adalah hasil kerjasama erat dan komitmen tinggi daripada semua pihak terlibat.
“Berdasarkan pemerhatian kerja-kerja di tapak hari ini, saya amat gembira kerana kerja berjalan dengan lancar.
“Ini petanda yang sangat baik dan menunjukkan kemajuan luar biasa.
“Saya berharap prestasi ini dapat dikekalkan sehingga projek ini siap lebih awal daripada jadual,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke tapak projek, hari ini.
Projek ini bertujuan meningkatkan kapasiti rawatan air Loji Salim daripada 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD, bagi memenuhi permintaan bekalan air bersih yang semakin meningkat di Sibu dan kawasan sekitarnya.

Apabila siap sepenuhnya, jumlah keseluruhan kapasiti bekalan air di Sibu termasuk Loji Bukit Lima (45 MLD) dijangka mencecah 345 MLD.
“Ini akan menyediakan margin simpanan (reserve margin) yang mencukupi bukan sahaja untuk Sibu, tetapi juga kawasan luar bandar berdekatan,” jelasnya.
Menurut Julaihi, seramai 120 pekerja kini terlibat di tapak bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berimpak tinggi tersebut, yang melibatkan kos keseluruhan RM291.4 juta, dengan nilai kontrak utama sebanyak RM269.1 juta.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada LAS, pasukan jurutera projek dan semua pihak yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan projek ini.
Oleh Tarani Lanting