
BEKENU: Projek naik taraf jalan dari Simpang Sepupok ke Bakam terus giat dilaksanakan dengan kerja pembinaan parit di kiri kanan bahu Jalan Persisiran Pantai Miri Bintulu.
Tinjauan Utusan Sarawak hari ini bermula dari Bakam, Simpang Kampung Beraya Lama hingga Simpang Pantai Tusan mendapati beberapa kawasan telah siap.
Dalam sepanjang perjalanan pagi tadi turut mendapati pekerja sedang giat memasang dedawai besi untuk membuat parit.
Sementara itu, di kawasan yang telah siap peparitnya kelihatan laluan agak luas dan lebih selamat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, pada sidang media Mac lalu di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri, berkata bahawa projek naik taraf jalan sepanjang laluan Sepupok ke Bakam dikendalikan oleh Sarcomas Sdn. Bhd.
Projek tersebut telah dimulakan pada 2 Januari 2025 dan dijadual siap pada 1 Januari 2028, dengan kos keseluruhan sebanyak RM157.9 juta.
Projek ini akan memberi impak besar kepada penduduk dengan meningkatkan kemudahan jalan raya dan akses perhubungan yang lebih selesa.
Projek ini adalah pengumuman oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Hari Raya tahun lepas.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya di kawasan terbabit dinasihati agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati memandangkan laluan agak sempit, serta memberikan laluan dan kerjasama kepada para pekerja demi keselamatan bersama.
Oleh Adum Liu