
MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mengarahkan kerja-kerja pembaikan semula dilaksanakan terhadap projek naik taraf Gelanggang Bola Keranjang Taman Bumiko di sini selepas mendapati sebahagian kemudahan tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.
Beliau berkata projek berkenaan yang dilaksanakan menerusi peruntukan RM150,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 itu hanya akan diserahkan selepas semua kerja pembetulan termasuk penurapan semula dan pengecatan disiapkan sepenuhnya mengikut spesifikasi asal.
“Terdapat kecacatan pada sebahagian kemudahan yang telah dibaiki. Saya telah mengarahkan kontraktor supaya melaksanakan penambahbaikan segera bagi memastikan projek ini mematuhi standard serta selamat digunakan orang ramai,” katanya ketika meninjau projek itu hari ini.
Menurut Sebastian, skop projek melibatkan pembaikan dan penyelenggaraan longkang serta paip air hujan yang rosak, penggantian papan bola keranjang kepada rangka besi dengan papan kaca tempered lutsinar, pemasangan gelang dan jaring baharu, penambahan bangku rehat selain kerja penurapan dan mengecat permukaan gelanggang.
Beliau berkata aspek kualiti dan keselamatan kemudahan awam tidak boleh dikompromi, khususnya kemudahan yang digunakan golongan belia dan penduduk setempat untuk aktiviti riadah harian.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan RTP bukan sekadar menambah baik kemudahan asas, malah bertujuan meningkatkan kualiti hidup komuniti secara menyeluruh dan setiap peruntukan awam mesti memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan tambahan peruntukan RM50,000 di bawah RTP bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan gelanggang berkenaan bagi memperkukuh pemantauan keselamatan awam serta mencegah vandalisme.
Beliau berharap kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.
Oleh Liong Chai Ling