
BINTULU: Kerja-kerja membaik pulih di Jalan Nyabau dari arah Hospital Bintulu ke persimpangan lampu isyarat yang dijadualkan bermula esok dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi memastikan laluan tersebut lebih selamat dan tahan lama untuk digunakan oleh orang awam.
Menurutnya, kerja menaik taraf melibatkan laluan sejauh 195 meter menggunakan konkrit simen bagi meningkatkan ketahanan struktur jalan.
“Laluan ini akan dinaik taraf menggunakan konkrit simen bagi memastikan ketahanan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelaras Cadangan Kerja Baik Pulih di Jalan Nyabau di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Johnny Pang menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan Jalan Kidurong sebagai laluan alternatif sepanjang tempoh kerja dilaksanakan bagi mengelakkan kesesakan.
“Saya sedar kerja menaik taraf ini mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada pengguna, namun ia perlu bagi memastikan jalan lebih baik dan selamat.
“Dari segi keselamatan, pihak kontraktor akan meletakkan papan tanda serta memasang lampu amaran berkelip atau papan tanda keselamatan terutamanya bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya pada waktu malam,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih