LUBOK ANTU: Keriangan tiga sahabat bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas ketika sedang mandi-manda di Sungai Lubok Subong, Nanga Kesit dekat sini hari ini.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan daripada petugas bilik kawalan BBP Sri Aman berhubung kejadian tersebut sekitar jam 1.59 petang tadi.
“Hasil maklumat daripada pihak polis iaitu Sarjan Riki memaklumkan, semasa kejadian mangsa bersama dua lagi rakan mandi di Sungai Lubok Subong, Nanga Kesit dekat sini.
“Semasa ketiga-tiga mereka selesai mandi dan hendak menyeberangi sungai tersebut ke seberang, secara tiba-tiba salah seorang mangsa iaitu Mohd Fandi Wong Mohd Awang Wong yang berasal dari Jalan Sungai Antu, Sibu itu telah dibawa arus deras sungai sehingga tenggelam di tengah sungai tersebut.
“Difahamkan juga oleh rakan mangsa bahawa mangsa tidak pandai berenang,” katanya.
Muhammad Rais berkata pakaian terakhir mangsa hanya berseluar dalam berwarna hitam dan tidak berbaju.
Dalam pada itu, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) bertolak dari BBP Betong ke Iokasi kejadian Lubok Subong, Nanga Kesit, Lubok Antu sekitar jam 2 petang dan Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) terus dibuka di lokasi kejadian serta merta sekitar jam 3.10 petang.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bomba seramai enam anggota bersama agensi terlibat yang turut serta penduduk kampung menggunakan dua perahu dan sebuah jetski untuk membuat pencarian di permukaan air dalam lingkungan satu kilometer (KM) ke hilir sungai.
“Selain itu, anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) telah membuat sukatan kedalaman air sungai tersebut di lokasi mangsa terakhir dilihat tenggelam.
“Setelah dibuat pemantauan operasi selaman, ia tidak dapat dilakukan pada masa kini atas faktor arus sungai deras serta keruh dan berbahaya untuk aktiviti selaman,” katanya.
Muhammad Rais menambah, dianggarkan kedalaman air lokasi mangsa disyaki lemas sedalam tiga meter serta hasil maklumat penduduk kampung di lokasi tersebut juga terdapat banyak tunggul kayu.
“Komander Operasi SAR menangguhkan operasi pada hari pertama dan akan disambung pada keesokan hari pada jam 7 pagi,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN
Gambar
Operasi mencari mangsa dikhuatiri lemas di Sungai Lubok Subong, Nanga Kesit dekat Lubok Antu hari ini.