
MIRI: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bergegas ke Tudan Fasa 5, tengah hari tadi, selepas menerima panggilan kecemasan berhubung sebuah kereta yang terkunci dengan kunci tertinggal di dalamnya.
Menurut laporan operasi, panggilan diterima pada 12.46 tengah hari daripada orang awam.
“Sebaik tiba di tempat kejadian pada 12.57 tengah hari, Komander Operasi mendapati sebuah Proton Saga, tidak dapat dibuka kerana kunci berada di dalam kenderaan.
“Pasukan operasi yang terdiri daripada seorang penyelia, seorang pemandu serta empat anggota bertindak membuka pintu pemandu menggunakan peralatan khas selepas melakukan penilaian situasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi berjaya dijalankan dengan selamat tanpa melibatkan sebarang risiko atau kerosakan tambahan.
Jentera bomba bertolak semula ke balai pada 1.12 tengah hari dan tiba pada 1.25 tengah hari.
BBP Lutong melalui Pasukan Bravo menyatakan bahawa tindakan pantas dan lancar ini adalah selaras dengan komitmen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam memberikan perkhidmatan yang cepat, mesra dan berkesan kepada masyarakat.