
KOTA SAMARAHAN: Sebuah kereta yang dinaiki dua wanita termasuk seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) autisme, dilaporkan terjunam ke dalam tasik di kawasan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), pagi tadi.
Menurut Komander Operasi, PKPgB Cristian Olas, Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 10.40 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam tasik.
“Terdapat dua orang mangsa di dalam kenderaan, kedua-duanya perempuan. Mereka telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, salah seorang mangsa 17 tahun yang merupakan individu orang kurang upaya (autisme) berada dalam keadaan selamat.
“Seorang lagi mangsa, berusia 50 tahun didapati tidak sedarkan diri dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS terlibat dalam operasi menyelamat yang turut disokong agensi lain.
Oleh Masrin Affirah