
MIRI: Seorang lelaki warga emas maut setelah kereta dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Pan Borneo, berhampiran Rumah Michael di Suai, dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 71 tahun tersepit dalam kenderaannya yang terbalik di dalam parit.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah berkata menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 11.25 pagi sebelum sepasukan bomba digerakkan ke lokasi yang terletak pada jarak 59 kilometer dari balai.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi mendapati kenderaan mangsa dalam keadaan terbalik di dalam parit dan kemalangan tersebut merupakan kemalangan kendiri.
“Setelah penilaian dijalankan, PKO menggunakan peralatan khas untuk kemalangan jalan raya (RTA) membuka ruang kerja bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit namun agak sukar disebabkan pintu kiri dan kanan dihimpit sisi parit,” katanya.
Katanya, PKO kemudian menggunakan khidmat tunda untuk mengalihkan kenderaan tersebut.
“Apabila kenderaan mangsa berjaya dialihkan, PKO menggunakan peralatan RTA untuk memotong pintu dan setelah pintu dapat dibuka PKO mendapati hanya seorang mangsa berada di dalam.
“PKO seterusnya mengeluarkan mangsa dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
“Kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut tiba di tempat kejadian seterusnya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” ujarnya.
Operasi itu tamat sepenuhnya pada 1.45 petang.
Oleh Liong Chai Ling