

KUCHING: Sebuah kereta musnah sekitar 90 peratus dalam satu kejadian kebakaran di bahu Jalan Tai Shin Jar, Hui Sing di sini, malam ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.26 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang digerakkan ke lokasi kejadian.
Jentera bomba tiba di lokasi pada 10.29 malam dengan jarak sekitar tiga kilometer dari balai, dan mendapati sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan sedang terbakar.
Komander Operasi, PBK I Gajau Jemat berkata, pasukan bomba bertindak pantas menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 10.33 malam dan operasi ditamatkan sekitar 10 minit kemudian setelah keadaan disahkan selamat serta terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seramai lapan anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan sebuah jentera FRT.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Shikin Mahmud