
MIRI: Seorang pemandu cedera ringan apabila kereta terbabas dan melanggar pagar sekolah menengah di Jalan Dato Abang Indeh di sini, petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba,pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.54 petang sebelum jentera bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan yang tiba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan kenderaan kendiri yang melanggar pagar sekolah.
“Seorang mangsa iaitu pemandu kenderaan mengalami kecederaan ringan dan tidak tersepit.
“Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal di lokasi bagi memastikan keadaan mangsa stabil,” katanya dalam kenyataan petang tadi.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
Oleh Liong Chai Ling