
Beberapa penyokong mengalami kecederaan akibat dirempuh kereta ketika sambutan meraihkan kejayaan Liverpool.
LIVERPOOL: Beberapa orang cedera apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan penyokong bola sepak yang sedang meraikan kejayaan Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL), sementara polis memaklumkan bahawa seorang lelaki Britain berusia 53 tahun ditahan.
Seorang wartawan AFP di Liverpool melihat sekurang-kurangnya empat orang dibawa keluar menggunakan pengusung, selepas saksi melaporkan melihat beberapa orang dilanggar oleh sebuah kenderaan berwarna gelap yang membelok laju melalui orang ramai.
Tidak dapat dipastikan segera berapa ramai yang cedera, sejauh mana kecederaan mereka, atau mengapa kereta itu melanggar pejalan kaki sekitar jam 6 petang waktu tempatan.
Namun, puluhan ribu orang hadir biarpun dalam hujan lebat bagi menyertai sambutan perarakan kemenangan pasukan dari barat laut England itu, yang menyaksikan pemain menaiki bas tanpa bumbung serta pertunjukan bunga api.
Bas yang membawa pasukan itu melalui Jalan Water hanya beberapa minit sebelum kereta itu merempuh orang ramai, menurut saksi kepada media.
“Ia sangat laju,” kata Harry Rashid, 48, dari Solihull, berhampiran Birmingham, yang berada di perarakan itu bersama isteri dan dua anak perempuannya.
“Pada mulanya kami hanya terdengar bunyi pop, pop, pop apabila orang terpelanting dari bonet kereta itu.
“Ia sungguh mengerikan dan anda boleh dengar hentakan sewaktu kereta itu melanggar orang,” katanya kepada pemberita.
Polis Merseyside menyeru orang ramai agar bertenang dan memaklumkan bahawa suspek yang ditahan ialah “seorang lelaki kulit putih Britain berusia 53 tahun dari kawasan Liverpool,” serta menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu. – AFP