
KUCHING: Sebuah kereta jenis Proton Saga musnah terbakar dalam satu kejadian di premis jualan kenderaan terpakai, Tiger Motors Used Car Sdn Bhd, di Jalan Batu Kawa, awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi, PBK II Abdul Hakim Supian, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang menerima panggilan kecemasan pada 12.51 tengah malam dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan bahagian enjin kereta berkenaan yang terbakar 100 peratus.
“Anggota diarahkan untuk menjalankan pemadaman menggunakan salur bantu mula gelung hos yang disambung terus dari tangki air jentera bomba.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 1.07 pagi sebelum operasi ditamatkan lima minit kemudian setelah kawasan disahkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambah beliau, tiada mangsa yang terlibat dilaporkan dalam insiden tersebut serta punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Operasi tersebut disertai sembilan anggota bomba bersama satu jentera FRT dan satu unit EMRS.