
BINTULU: Kenderaan jenis Perodua Kancil musnah terbakar dalam kejadian di Lebuh Raya Pan Borneo Miri-Bintulu berhampiran Simpang Bakun di sini, hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 3.05 petang.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju bersama jentera digerakkan ke lokasi sejauh 14 kilometer.

“Kebakaran melibatkan kereta jenis Perodua Kancil yang ditinggalkan di tepi jalan selepas terlibat dalam kemalangan pada 5 Ogos lalu.
“Kenderaan tersebut musnah terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki jentera.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian terbabit. Oleh Carolyne Utih