LAWAS: Tiga orang dalam sekeluarga mengalami detik cemas apabila kereta yang mereka naiki terlajak dan meluncur ke arah laut setelah tersasar laluan ke rumah ketika air pasang.
Kejadian itu berlaku pada tengah malam kelmarin apabila kereta dipandu lelaki berusia 48 tahun bersama ibu dan bapanya memasuki laluan ke rumah mereka, sebelum kenderaan itu meluncur ke pantai.
Bagaimanapun, mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam .
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim berkata kereta yang dipandu mangsa meluncur ke pantai, apabila memasuki laluan untuk masuk ke rumahnya ketika air laut sedang pasang.
“Ketika memasuki laluan ke rumahnya, tiba-tiba kereta terbabit tergelincir dan tersasar ke tengah pantai kira-kira 33 meter.
“Bagaimanapun, pemandu bersama orang awam berjaya mengeluarkan ibu dan bapanya dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya hanya membantu menarik kenderaan itu ke tepi pantai menggunakan jentera bomba.
“Operasi ditamatkan pada jam 1.30 pagi. Seramai sembilan anggota melibatkan dua kenderaan bomba terlibat dalam operasi khidmat khas kereta meluncur di pantai itu,” katanya.
Oleh ADENG EDRUS