KUCHING: Sebuah kereta dilaporkan terbabas ke dalam gaung dan terbakar di Kampung Lintang Baru Batu 28 Jalan Kuching-Serian, kira-kira 11.30 malam, malam tadi.
Menurut seorang saksi kejadian, pemandu kenderaan terbabit berjaya keluar dari kenderaan dengan selamat namun telah beredar dari lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak turut mengesahkan tidak menemui sebarang kelibat individu dipercayai mangsa hasil pemantauan awal di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba telah membuat pemantauan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada mangsa yang cedera atau tersepit.
“Maklumat mangsa (pemandu) juga gagal dikesan, manakala jenis kenderaan juga tidak dapat dikenal pasti kerana telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, operasi disertai pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan tamat sepenuhnya pada 4.00 pagi.
Oleh Mohd Neenatul Aizal