KUCHING: Jaringan kereta kabel akan dibina di kawasan pusat peranginan Puncak Borneo di sini dalam usaha menjadikannya pusat pelancongan lebih menarik.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan Raya), Datuk Dr Jerip Susil untuk itu, pihaknya mengalukan pelabur untuk tampil bersama-sama kerajaan Sarawak membina projek itu.
Katanya, kerajaan Sarawak sudah mengambil alih pusat peranginan ini dari pemaju dan kawasan itu akan dibangunkan sebagai pusat pelancongan.
“Jadi, saya mengalu-alukan pelabur untuk tampil menjayakan aspirasi kita untuk membina kereta kabel di sini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Lab Mini Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong berkata kereta kabel itu dicadangkan dibina dari pusat peranginan Puncak Borneo hingga ke Kampung Annah Rais.
“Idea dan cadangan ini juga saya dapat daripada penduduk di sini. Jika ia berjaya, kereta kabel tersebut akan melalui Puncak Borneo merentasi Kampung Atas Awan, perkampungan Empangan Bengoh hingga ke Kampung Annah Rais.
“Ini sekali gus dapat menarik minat pelancong untuk datang ke sini seperti di Tanah Tinggi Cameron,” katanya.
Beliau berkata, jika projek itu berjaya, kerajaan tidak akan membina jaringan jalan raya di sana oleh kerana ia telah disambungkan dengan kereta kabel.
“Kami tidak mahu membina jalan raya di kawasan Empangan Bengoh kerana mahu mengekalkan persekitaran hijau.
“Sebelum ini, jika hendak pergi ke kampung Empangan Bengoh, kita menggunakan bot tetapi sekiranya mempunyai kereta kabel ia lebih baik. Pelancong boleh melihat tasik melalui kereta kabel,” katanya.
Julai lalu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan Sarawak mengambil alih pusat peranginan Puncak Borneo dan membangunkan kawasan tersebut sebagai pusat pelancongan.
Konsesi membabitkan pengendali pusat peranginan itu dibatalkan ekoran tidak dapat memenuhi sepenuhnya perjanjian sebelum ini.
Malah katanya, kerajaan Sarawak juga kecewa apabila pusat peranginan itu tidak dibangunkan oleh syarikat tersebut yang seharusnya menjadi destinasi pelancongan warga tempatan dan luar.
“Terdapat perancangan untuk membangunkan pusat peranginan seluas 5,000 ekar itu untuk pelancongan dan petanian moden sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN
Keterangan gambar
- Gambar hiasan kereta kabel