

KEADAAN sebuah kereta jenis saloon terbakar di bahagian enjin dalam kejadian berhampiran Majma Mall, Jalan P. Ramlee, Kuching.
KUCHING: Sebuah kereta jenis saloon terbakar di bahagian enjin dalam kejadian berhampiran Majma Mall, Jalan P. Ramlee di sini pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 9.27 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi pada 9.30 pagi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan bahagian enjin kereta tersebut dengan anggaran kemusnahan sekitar 40 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu saluran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki jentera bomba.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 9.50 pagi dan operasi ditamatkan pada 10.16 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, dan keadaan di lokasi disahkan selamat serta terkawal selepas pemantauan dilakukan,” jelasnya.
Operasi diketuai PBK II Azrul Hafiz Azhar bersama tujuh anggota, melibatkan sebuah jentera FRT dan unit EMRS.
Oleh Masrin Affirah