
Kereta api laju terpantas di dunia, CR450.
BEIJING: Kereta api terpantas di dunia, CR450 memulakan siri ujian pra-perkhidmatan dengan merekodkan kelajuan maksimum 453 km/j, lapor Xinhua.
Kereta api siri CR450, yang direka untuk kelajuan ujian maksimum 450 km/j dan kelajuan operasi komersial 400 km/j, kini menjalani ujian kelayakan di laluan kereta api laju yang menghubungkan bandar timur Shanghai dengan bandar pedalaman barat Chengdu, menurut Science and Technology Daily, semalam.
Kereta api laju itu boleh memecut dari keadaan pegun ke 350 km/j dalam hanya 4 minit 40 saat dan dua tren mencipta rekod apabila berselisih pada kelajuan gabungan 896 km/j.
Berbanding model sebelumnya, CR400, CR450 menampilkan bahagian hadapan yang lebih panjang dan aerodinamik, garis bumbung yang direndahkan sebanyak 20 sentimeter dan pengurangan berat sebanyak 50 tan, yang menyumbang kepada pengurangan 22 peratus dalam rintangan aerodinamik.
Kereta api laju CR400 Fuxing yang kini beroperasi bergerak pada kelajuan 350 km/j.
Kereta api CR450 pula mesti melengkapkan 600,000 km operasi tanpa masalah sebelum boleh diberikan kelulusan untuk membawa penumpang. – BERNAMA-XINHUA