KUCHING: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata pendekatan ‘turun padang’ akan terus menjadi keutamaannya dalam memantau pelaksanaan projek bekalan air di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, kehadirannya di lapangan bukanlah kerana meragui laporan yang disediakan oleh pegawai Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, sebaliknya bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang situasi sebenar di tapak projek.
“Saya kerap turun ke tapak projek dan lebih selesa membuat lawatan bersama semua pihak terlibat di setiap kawasan.
“Ini bukan bermakna saya tidak percaya kepada laporan yang diberikan, tetapi saya percaya bahawa ‘melihat dengan mata sendiri’ lebih memberi keyakinan.
“Ada isu yang hanya dapat diselesaikan apabila kita berada sendiri di lapangan,” katanya ketika berucap pada majlis apresiasi JBALB Sarawak 2024 di sebuah hotel di sini malam tadi.
Julaihi turut menyentuh mengenai lawatannya ke Loji Air Niah, yang mana meskipun bekalan air mencukupi buat masa ini, terdapat kebimbangan mengenai keupayaan sumber air untuk jangka panjang.
Katanya, masalah ini berpunca daripada kelewatan pembinaan empangan yang sepatutnya disiapkan, namun tertangguh akibat isu kontraktor.
“Saya telah melawat Loji Air Niah dan mendapati bekalan air buat masa ini mencukupi.
“Namun, dalam jangka panjang, jika empangan yang dirancang tidak siap kerana masalah kontraktor, sumber air yang tersedia mungkin tidak cukup untuk diproses menjadi air terawat.
“Ini adalah antara isu yang hanya dapat kita kenal pasti apabila berada di lokasi,” jelasnya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Utiliti, Datuk Abdul Rahman Junaidi; Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh SHAHRUL QAIZAT