Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Kerani timbang sawit dipenjara tiga tahun pecah amanah RM29,480.60
  • MAHKAMAH

Kerani timbang sawit dipenjara tiga tahun pecah amanah RM29,480.60

Utusan Sarawak 4 hours ago
PENJARA…Mahkamah Seksyen Mukah menjatuhi hukuman penjara tiga tahun ke atas dua kerani timbang sawit setelah kedua-duanya mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah.

MUKAH: Mahkamah Seksyen Mukah menjatuhi hukuman penjara tiga tahun ke atas dua kerani timbang sawit setelah kedua-duanya mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, melibatkan wang bagi pembelian buah kelapa sawit berjumlah RM29,480.60.  

Terdahulu, Hakim Musyiri Peet yang mendengar kes menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh yang dikenali sebagai Manisha Mila Jilum, 26, dan Kusmawati Udin, 26.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap, 20 April 2026.

Dalam rayuan agar dikenakan hukuman ringan, Manisha memberitahu mahkamah bahawa dia kini mengandung tujuh bulan serta mempunyai seorang anak kecil berusia tiga tahun. 

Sementara Kusmawati dalam rayuan memberitahu perlu menjaga kedua-dua orang tuanya, selain ibunya mengidap penyakit darah tinggi serta perlu menghantar ibunya ke hospital bagi rawatan susulan.

Tertuduh turut memberitahu perlu menghantar anaknya yang berusia satu tahun bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kedua-dua tertuduh dalam rayuan juga menyatakan niat untuk berunding dengan pengadu bagi membayar balik wang yang dinyatakan dalam pertuduhan, namun gagal menghubungi pengadu.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa bersama melakukan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah RM9,527.40 antara 9 Febuari 2026 hingga 22 Febuari 2026 di premis syarikat di Sungai Belaboh, Jalan Matadeng-Balingian.

Bagi pertuduhan kedua, Manisha dan Kusmawati didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan wang tunai milik syarikat berjumlah RM14,199.40 antara 3 Mac 2026 hingga 29 Mac 2026, di tempat yang sama.

Manakala untuk pertuduhan ketiga, kedua-dua mereka didakwa bersama melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM2,233.80 pada 1 April 2026 di tempat yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan ini, mereka didakwa melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nuralisa Natasha Nazrulzam sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.     

Oleh Akun Giman

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Lelaki mengaku bersalah pandu di bawah pengaruh dadah, rempuh lima kenderaan di Sibu
Next: Kes kemalangan maut: pemandu lori simen direman empat hari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.