SIRI 1
Dunia seakan terhenti seketika apabila virus Covid-19 bertebaran di seluruh ceruk dan pelosok dunia. Virusnya kecil tetapi kesannya besar sehingga ekonomi banyak negara menjadi lumpuh. Ketika banyak sektor ekonomi terpaksa memperlahankan temponya, satu ekonomi pula terus cergas iaitu ekonomi gig.
Menurut Pensyarah Kanan dan Penyelaras Program Ekonomi Perniagaan dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Rosita Hamdan, ekonomi gig merujuk kepada dunia pekerjaan yang didominasikan oleh projek perundingan dan pekerjaan separuh masa.
Dari sudut definasi oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), ekonomi gig dipelopori oleh buruh bebas, secara berasingan, dalam lingkungan geografi yang luas dan secara tidak langsung bersaing di antara satu sama lain.
“Selain itu, ekonomi gig juga disebut sebagai ekonomi berkongsi (sharing economy), ekonomi kolaboratif (collaborative economy), ekonomi digital, ekonomi orang ramai (crowd economy) atau ekonomi rakan sebaya (peer-to-peer economy). Model ekonomi gig bergantung kepada pekerja bebas yang juga dikenali sebagai “giggers”,” kata beliau.
Dengan erti kata lain ekonomi gig adalah pasaran buruh jangka pendek di mana pekerja gig melibatkan diri dalam kemahiran, kontrak jangka pendek atau berasaskan tugasan, bebas dan fleksibel, disertai oleh mereka yang ingin mencari pengalaman dan menghabiskan masa atau kerana minat.
Pekerja gig pula terdiri daripada pekerja separuh masa, pekerja bebas, kontraktor bebas dan pekerja berasaskan projek di mana mereka menyara kehidupan bergantung kepada permintaan kerja. Selain itu, ekonomi gig bertumpu di kawasan bandar dan bergerak melalui penggunaan laman sesawang atau aplikasi telefon dalam berkomukasi dengan pelanggan.
Sektor yang terlibat dalam ekonomi gig adalah termasuk sektor pembinaan, aset dan hartanah, penjagaan kesihatan, sektor rantaian bekalan dan perkhidmatan kewangan. Faktor-faktor yang menyumbang kepada ekonomi gig di Malaysia adalah peningkatan flatform digital seperti telefon pintar dan internet, peningkatan kos isi rumah, pekerjaan bergerak yang semakin menjadi pilihan, dan perkembangan ruang dan peluang berkerja bersama.
Selain itu, fator lain yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi ini adalah kerana masalah kurang pekerja kemahiran tinggi, perubahan pasaran dan permintaan pelanggan, kehendak terhadap kepuasan hasil dan perhatian segera dalam tugasan dan juga keperluan majikan untuk mengoptimakan kos secara efisyen.
Dalam Pelan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025), ekonomi gig telah diketengahkan sebagai sumber pembangunan ekonomi baharu negara yang banyak menyuntik peningkatan dalam keluaran dalam negara kasar Malaysia.
Menurut bancian tenaga buruh oleh Jabatan Statistik Malaysia, penglibatan tenaga kerja bebas dalam sektor ekonomi Malaysia meningkat daripada 1,954.7 pada tahun 2010 kepada 2,380.9 pada tahun 2020.
Dapatan daripada Institut Penyelidikan Khazanah turut menyokong bahawa peningkatan pekerja persendirian meningkat terutamanya di kawasan bandar sejak tahun 1995 adalah pada 12% dan terus meningkat terutama dalam kalangan generasi muda yang berumur di bawah 35 tahun.
“Sektor ini banyak dipelopori oleh generasi muda yang celik teknologi yang dijangka terus berkembang terutama dalam keadaan krisis pandemik semasa apabila ramai tenaga kerja yang hilang pekerjaan, beralih kepada flatform digital untuk menyara kehidupan,” tambah Dr. Rosita.
Sementara itu, menurut laporan PricewaterhouseCoopers (PWC), sumbangan daripada sektor ekonomi gig ini telah diramal mencapai nilai lebih kurang $63 bilion pada tahun 2020.
EKONOMI GIG DI SARAWAK
Pandemik Covid-19 sangat memberi kesan negatif kepada kelestarian kehidupan penduduk di seantero dunia, Malaysia malahan di negeri Sarawak. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan di awal penyebaran pandemik iaitu pada Mac 2020, kadar pengangguran di negeri ini telah meningkat sehingga 3.3 peratus, manakala kadar pengangguran di Malaysia terus meningkat kepada 4.8 peratus pada November 2020.
Dengan krisis dan cabaran wabak yang masih berlanjutan, jumlah pengangguran dalam kalangan isi rumah di Sarawak tentunya semakin meningkat serta mendatangkan kesan yang negatif kepada pembangunan sektor ekonomi dan pembangunan sosial negeri seperti peningkatan kemiskinan, kepinggiran golongan berpendapatan rendah dan miskin serta pelbagai masalah ekonomi dan sosial yang lain.
“Sejajar dengan inisiatif kerajaan negeri Sarawak melalui Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022, ekonomi gig di negeri ini pastinya mempunyai potensi yang besar dan akan berupaya dimajukan sebagai pemacu pembangunan ekonomi dan sosial negeri terutama pada masa kini dan seterusnya pada fasa pasca pandemik Covid-19 kelak,” kata beliau.
Dengan adanya inovasi digital di negeri Sarawak dan faedah yang ditawarkan melalui sektor ekonomi gig ini, tenaga kerja terutama ketua isi rumah yang kehilangan pekerjaan mempunyai alternatif untuk sekurang-kurangnya terus mempunyai pendapatan untuk kelestarian ekonomi rumah tangga.
Walaupun mungkin penjanaan pendapatan melalui ekonomi gig ini tidaklah selumayan daripada pendapatan upah tetap tetapi sekurang-kurangnya ia membantu mengurangkan beban tanggungan isi rumah.
Menurut Dr. Rosita, penambahbaikan jaringan digital dalam negeri serta bantuan bagi menambahbaik pakej ekonomi gig yang sedia ada adalah sangat penting selain menawarkan pakej rangsangan bagi sektor ekonomi ini.
Pembangunan sektor perkerjaan di bawah ekonomi gig ini akan turut memberi kesan limpahan ekonomi kepada sektor ekonomi negeri yang lain seperti perindustrian kecil sederhana tempatan yang juga terjejas kerana pandemik covid 19.
“Selain itu, khidmat penghantaran makanan melalui perkhidmatan GrabFood dan foodPanda yang meningkat permintaannya kerana perintah kawalan pergerakan serta kebolehan generasi muda untuk menjana pendapatan sebagai seorang pengaruh media sosial melalui vlogs di YouTube dan sebagainya membantu golongan belia menjana pendapatan berterusan dan membantu graduan-graduan muda untuk mempunyai pekerjaan sementara serta menimba pengalaman,” ujar beliau.
Ekonomi gig juga dijangka mengubah struktur pembangunan sumber manusia di firma-firma ekonomi di mana kebanyakan firma lebih cenderung untuk menawarkan pekerjaan kontrak jangka pendek atau bergantung tugasan berbanding pekerja upah tetap bagi mengurangkan kos pengurusan firma.
Menurut kajian PWC, menjelang 2020 lebih 20 peratus tenaga kerja negara adalah termasuk pekerja kontrak atau jangka pendek dan pekerja bebas. Oleh itu, permintaan terhadap tenaga buruh pastinya meningkat dan peluang pekerjaan yang berasaskan kemahiran akan banyak ditawarkan kepada golongan belia berpotensi di negeri ini. Perubahan struktur pasaran dan permintaan pelanggan merupakan faktor tolakan dalam menjana ekonomi gig yang menarik minat lebih ramai tenaga buruh di negeri ini.
SOKONGAN KERAJAAN
Menyedari potensi ekonomi gig ini, ekonomi digital terus diberi keutamaan khusus oleh kerajaan pusat serta negeri di mana ia merupakan antara teras utama yang diumumkan di dalam belanjawan Malaysia 2020.
Sebagai usaha membantu membangunkan ekonomi gig ini, kerajaan juga telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan pakej dana sebanyak RM75 juta di mana RM50 juta adalah untuk tujuan memberi galakan kepada majikan yang terlibat dalam ekonomi gig untuk mendaftarkan pekerja mereka dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan I-Saraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan selebihnya peruntukan sebanyak RM25 juta untuk program Latihan melalui Perbadanan ekonomi Digital Malaysia (MDEC) iaitu Program ‘Global Online Workforce’ (GLOW) .
Di samping itu, program MyGIG membolehkan rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan tinggi melalui digitalisasi ekonomi. Sehubungan itu terdapat 140 platfom yang menyediakan peluang kepada pekerja gig dan pekerja bebas dan dianggarkan sebanyak 540,000 pekerja yang aktif dalam sektor ini.
Seramai 190,000 orang daripadanya bekerja sebagai penghantar makanan dalam perkhidmatan Grab dan Foodpanda serta pemandu bagi pelbagai flatform logistik.
Akhir-akhir ini, kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telah mewujudkan Program eLadang dalam membantu menaiktaraf pendapatan para petani melalui teknologi peladangan digital, pendekatan ekonomi berkongsi di bawah inisiatif eRezeki membolehkan isi rumah daripada kumpulan berpendapatn rendah untuk menjana pendapatan tambahan dengan melakukan tugasan digital. Program kempen ‘go eCommerce’ dan ‘Shop Malaysia Online’ (SMO) dengan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi membantu peniaga dan usahawan tempatan untuk beralih menggunakan flatform eDagang dan eBayar dalam urusniaga mereka.
Kempen SMO pula merupakan insentif kerajaan dalam bentuk diskaun, rebat dan baucar penghantaran kepada rakyat untuk menggalakkan urusniaga pembelian secara dalam talian daripada peniaga tempatan.
Oleh HAINI DARANI