SARIKEI: Sebanyak 109 inisiatif telah dilaksanakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk rakyat Sarawak sejak lima tahun dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Menteri Muda Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Len Talif Salleh berkata, inisiatif-inisiatif ini meliputi pelbagai aspek yang berfungsi untuk memajukan lagi Sarawak dan juga bagi menjaga kebajikan rakyat Sarawak.
“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari sentiasa mengutamakan pembangunan di Sarawak agar terus maju dan mencapai status sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
“Langkah beliau melaksanakan ekonomi digital ternyata membawa kesan yang positif bagi merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.
“Selain itu, beliau juga mendengar suara rakyat Sarawak di luar bandar dengan merancakkan pembangunan di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak, pagi semalam.
Len Talif yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri kerana berjaya membawa kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.
“Usaha berterusan dan penuh komitmen GPS yang diketuai oleh beliau memajukan Sarawak, menguatkan lagi kepercayaan rakyat Sarawak terhadap Kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Abang Johari.
“Kemenangan memperoleh sebanyak 76 kerusi dari 82 kerusi di PRN Ke-12 adalah bukti bahawa rakyat Sarawak memberi mandat yang begitu besar kepada GPS.
“Tahniah kepada beliau dan semua wakil rakyat dari GPS yang memenangi PRN Ke-12,” ujarnya.
Tambahnya, beliau berharap rakyat Sarawak terus memberi sokongan padu kepada Ketua Menteri dan barisan kepimpinan dalam Kerajaan Sarawak.
“Marilah kita bekerjasama dan bersatu padu bagi memastikan Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya lagi.
Oleh EARL ANEK