
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh usaha memastikan kestabilan harga dan keterjaminan bekalan barangan asas di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan melalui penubuhan Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) Penstabilan Harga.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Labuan Bilangan 1 Bagi 2026 yang dipengerusikan beliau hari ini.
Beliau berkata mesyuarat itu membincangkan beberapa perkara penting yang diharapkan dapat mencapai matlamat bagi memastikan kualiti hidup rakyat dapat dioptimum sebaik mungkin.
“Saya percaya komitmen pengerusi daripada wakil Kerajaan Persekutuan dan Pengerusi Bersama daripada wakil kerajaan negeri dalam mesyuarat TWG yang diadakan tahun lepas dapat mencapai agenda kestabilan harga dan keterjaminan bekalan barangan asas di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mesyuarat dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Amrizan Mohd Ali, Menteri Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Datuk Mustapha Sakmud, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datul Julita Mojungki serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Lo Su Fui.
Berdasarkan mesyuarat sebelum ini, jawatankuasa berkenaan telah bersetuju menubuhkan TWG Penstabilan Harga dengan tujuan utama memperkukuh koordinasi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menangani isu berkaitan.
Langkah itu diambil sebagai usaha berterusan kerajaan bagi memastikan rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan mendapat bekalan barangan asas mencukupi pada harga yang stabil.
-Bernama