KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan melupakan jasa, khidmat dan pengorbanan yang dicurahkan anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang menyertai misi menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye, bulan lepas.
Penghargaan itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam Tahun 2023 dan Jamuan Makan Tengah Hari Bersama Pasukan Penyelamat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Malaysia ke Turkiye di Parlimen di sini hari ini.
Anwar berkata bertugas ketika musim sejuk serta meninggalkan keluarga berminggu-minggu bukanlah satu perkara kecil yang dilakukan oleh pasukan SAR negara.
“Inilah namanya negara di mana perkhidmatan kita dalam Angkatan Tentera Malaysia, polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba dan lain-lain terpaksa berkhidmat bukan saja di Turkiye.
Tetapi kalau kita tengok banjir di Johor, saya lihat persiapan baik. Jentera kita siap sebelum banjir, jadi penjawat awam ini kalau diberi pengiktirafan prestasinya cukup cemerlang dan selaku Perdana Menteri, saya sangat bertuah kerana jentera kita sangat efisien dalam meredakan dan meringankan masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pesuruhjaya (Pertahahanan Awam) Aminurrahim Mohamed.
Seramai 140 anggota penyelamat serta dua anjing K9 terlibat dalam misi SAR di Turkiye.
Pada pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan bersetuju memberi elaun khas RM100 sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan menyelamat negara yang terlibat dalam misi di Turkiye dan Syria.
Dalam pada itu, beliau berkata kesungguhan yang ditonjolkan pasukan penyelamat negara dalam misi SAR turut mendapat penghargaan daripada Presiden Turkiye Reccep Tayyip Erdogan dan rakyat negara berkenaan.
“Jadi dua negara bersahabat, tentunya saya sendiri sebagai sahabat peribadi dengan Presiden Erdogan tentunya kita manfaatkan, bila orang dalam keadaan susah, kita ringankan, tak mungkin selesaikan, kita bantu ringankan.
“Malah Erdogan, beliau sangat sentimental, dengan penuh emosi melayangkan penghargaan kepada Malaysia dan amat tersentuh dengan apa yang telah negara kita lakukan (bantuan),” katanya.
Pada 15 Februari lepas, Anwar tiba di Gaziantep untuk meninjau lokasi bencana dan bertemu pasukan penyelamat negara sebelum berlepas ke Ankara bagi mengadakan pertemuan dengan Erdogan.
Perdana Menteri dalam pada itu sekali lagi menegaskan bahawa langkah kerajaan menyalurkan bantuan kepada Turkiye yang terkesan akibat gempa bumi adalah kerana negara berkenaan telah banyak membantu Malaysia sebelum ini termasuk ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.
“Orang tanya saya, orang kritik saya kenapa bagi banyak sangat (bantuan) dekat Turkiye? Sebenarnya tidak banyak, kita bagi kecil.
Semasa kita hadapi masalah awal, semasa Covid-19, ekonomi, banyak pelabur kita di Turkiye (terjejas) dan pada masa itu Presiden Erdogan membantu kita mencecah ratusan juta untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kita (di Turkiye),” katanya.
Pada 8 Februari lepas, Anwar berkata Malaysia menyalurkan sumbangan lebih AS$2 juta (lebih RM8.6 juta) kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.
Pada 6 Februari lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher telah melanda kawasan selatan Turkiye dan barat laut Syria dan kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan. – Bernama